Kempen Beli Barangan Malaysia Bantu PKS Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi

Kempen Beli Barangan Malaysia Bantu PKS Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi

Oleh Rashidah Abd Rahim

JASIN,. Pandemik COVID-19 yang mula dikesan pada penghujung tahun 2019 turut memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk terus bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi akibat penularan koronavirus maut itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), turut mengumumkan inisiatif kerajaan untuk memperkasa serta memperluaskan pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Matlamatnya, merangsang dan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik melalui sektor peruncitan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Bagi melengkapkan pelaksanaan KBBM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 secara serentak dengan KBBM, sebagai salah satu inisiatif yang menyeluruh untuk memulih (recovery) dan merancakkan (revitalise) sektor peruncitan di dalam negara.

Inisiatif KBBM dan KJM 2020 dilihat mampu meningkatkan permintaan domestik khususnya untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19.

KBBM, PJM 2020 TINGKAT PERMINTAAN DOMESTIK

Bernama menemu bual tiga orang usahawan yang menyertai KBBM untuk mendapatkan pandangan mereka tentang keberhasilan program yang dijalankan oleh pihak KPDNHEP. Seorang daripadanya, Ridzwan Hafidz Rosli, 29, pemilik dan pengasas syarikat Mama G Marketing Sdn Bhd yang antaranya mengeluarkan Sos Pedas ‘Bomb’ .

Menurut usahawan ini, pemilihan produknya dalam KBBM diharap dapat membantu meningkatkan jualan pasaran domestik khususnya dalam situasi penularan COVID-19.

Pandemik COVID-19, kata beliau, bukan sahaja menjejaskan pasaran tempatan untuk produk tersebut, malah juga, antarabangsa, menerusi stokis mereka di Singapura dan Brunei.

“Boleh dikatakan jualan pada tahun ini memang terjejas teruk berbanding tahun lepas disebabkan COVID-19. Ia jatuh antara tiga hingga empat kali ganda. Sebelum ini, kita mampu keluarkan 4,000 hingga 5,000 botol sebulan.

“Banyak program dan aktiviti promosi secara turun padang tidak dapat dilakukan dalam tempoh penularan COVID-19 ini . Saya berharap KBBM sedikit sebanyak dapat membantu jualan bagi pasaran domestik selain dikenali ramai dalam pasaran sos pedas,” katanya, ketika ditemui Bernama di kilangnya di Melaka Halal Hub, Serkam di Jasin, baru-baru ini.

Beliau mempunyai Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah dan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dari UiTM Kampus Bandaraya Melaka.

BANTU PASAR PRODUK TEMPATAN

Menerusi KBBM, produk Sos Pedas ‘Bomb’ keluaran syarikatnya kini boleh didapati di lebih 200 rangkaian stesen minyak seperti Petronas, Petron dan Shell serta beberapa pasar raya kecil di seluruh negara sejak produk makanan itu dikeluarkan pada tahun 2017.

Menurut anak kelahiran Kampung Jasin Hilir di sini, KDPNHEP juga sering memberi khidmat nasihat untuk menambah nilai produk bagi memenuhi kriteria ‘Buatan Malaysia’ selain memperluaskan skop pasaran.

Beliau berkata, antara salah satu penambahbaikan yang akan dilakukan atas nasihat KPDNHEP ialah menukar botol kaca yang digunakan kepada botol plastik yang mudah dipicit (squeeze) selain memudahkan penghantaran melalui pos.

“Kita jangkakan usaha ini dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana selain mengurangkan risiko botol pecah semasa penghantaran, ia dapat juga mengurangkan kos pengeposan.

“Saya juga merancang mengeluarkan sos kurang pedas berdasarkan permintaan ekoran terdapat pelanggan yang tidak tahan atau kurang gemar pada sos sedia ada yang pedas,” katanya.

Produk sos pedas yang dihasilkan iaitu Cheese Bomb (sos keju pedas), Black Bomb (sos madu pedas), Syok Bomb (sos salutan madu dan keju), Salted Egg Bomb (sos telur masin pedas) turut memiliki pensijilan halal dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTi).

BENGKEL KEUSAHAWANAN KPDNHEP

Sementara itu, pengusaha otak-otak dan satar menerusi jenama Mala, Noormala Ismail, 47, berkata bimbingan menerusi pelbagai kursus dan bengkel keusahawanan yang dianjurkan KPDNHEP banyak membantu perkembangan syarikatnya menerusi kerjasama yang terjalin sejak 2015.

Beliau berkata, perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan bermula dari rumah pada tahun 2005 kini mempunyai kedai sendiri yang didaftarkan di bawah syarikat Cahaya Mala Enterprise yang beroperasi di Taman Bertam Perdana dekat Pulau Gadong, Jasin.

“Sehingga sekarang, saya masih mengikuti bengkel dan kursus anjuran KPDNHEP tetapi dalam tempoh penularan COVID-19, ia ditangguhkan buat sementara waktu.

“Pendedahan atau tunjuk ajar lebih kepada bagaimana hendak mengetengahkan produk yang dihasilkan dengan modal yang sedikit selain mengajar usahawan cara ke hadapan melawan pasaran besar yang dimonopoli syarikat atau jenama tertentu,” kata Noormala, yang mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dengan menjual produk usahawan lain pada tahun 2002.

Pengasas serta pemilik syarikat Cahaya Mala Enterprise itu berkata, KPDNHEP juga sering memberi peluang dan ruang kepada beliau untuk menyertai program promosi yang dianjurkan agensi berkenaan.

COVID-19 JEJAS PASARAN DOMESTIK

Menurut Noormala, penularan COVID-19 menyebabkan jualan produk sejuk beku keluaran syarikatnya jatuh kira-kira 70 peratus sekali gus memberi kesan kepada operasi perniagaannya sehingga kini.

Ini kerana kebanyakan peniaga yang membeli otak-otak dan satar, beroperasi di pasar malam, pasar tani, kedai makanan tomyam dan ikan bakar, yang turut terjejas dengan situasi itu selain kekangan penganjuran pelbagai majlis keraian seperti kenduri kahwin.

Ibu kepada empat orang anak itu menambah, pasaran produknya di luar Melaka turut terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beliau hanya berharap pada jualan terus di kedai kerana produk keluarannya tidak sesuai dihantar melalui pos bagi menjamin kualiti dan kesegaran makanan tersebut.

Beliau juga terpaksa beralih kepada promosi berbayar dalam talian menggunakan laman sosial Facebook bagi memastikan produk keluarannya dapat terus dijual serta mendapat permintaan, dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini.

Produk sejuk beku keluaran syarikat Noormala menggunakan tagline ‘sedap di mulut, puas di hati’ itu terdiri daripada pelbagai variasi iaitu otak-otak daun nipah, otak-otak popiah, jejari otak-otak, satar, bebola satar dan pepes ayam.

PENGIKTIRAFAN PRODUK BUATAN MALAYSIA

Seorang lagi usahawan yang ditemu bual Bernama, Salim Salleh 63, berkata pengiktirafan produk makanan tambahan, Koko Minda Plus sebagai produk ‘Buatan Malaysia’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) banyak memberi kelebihan kepada produk tempatan itu untuk memperkukuh dan memperluas pasaran tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Koko Minda Food Industries (M) Sdn Bhd, pengiktirafan yang diperoleh pada tahun 2012 itu secara tidak langsung memberi jaminan produk yang dihasilkan bermula 2009 itu adalah selamat diminum seisi keluarga bermula usia setahun.

“Salah satu syarat untuk mendapat pengiktirafan logo Buatan Malaysia ialah mesti mempunyai sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain sijil MeSTI daripada Kementerian Kesihatan.

“Dengan adanya pengiktirafan ‘Buatan Malaysia’, maknanya produk Koko Minda Plus berpotensi dikenali secara lebih meluas khususnya dalam kalangan rakyat tempatan,” katanya, ketika ditemui Bernama di kilangnya di Melaka Halal Hub, Serkam, Jasin.

Salim, yang merupakan usahawan orang kelainan upaya penglihatan berkata, logo berkenaan juga memberi nilai tambah pada produk Koko Minda Plus kerana produk tersebut lebih mudah dipromosikan di rangkaian pasar raya besar di negara ini selain menerusi PJM dan KBBM yang berlangsung sejak Julai lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata produk Koko Minda Plus berpotensi dijual di rak jualan pasar raya besar namun beberapa keperluan lain khususnya aspek pembungkusan produk perlu diperbaiki.

“Sekarang ini, sistem jualan kita lebih kepada stokis dan ejen. Jadi setakat ini produk Koko Minda Plus dibawa masuk ke pasaraya oleh stokis yang dilantik,” katanya.

Menurut Salim, setakat ini, Koko Minda Plus boleh dibeli di Family Store dan kiosk dalam Mydin seperti Nadira Shop di samping dalam talian di Facebook Koko Minda Plus HQ, kokomindaplus.hq (instagram) atau www.kokomindafoodindustries.com.my (laman sesawang).

Makanan tambahan itu pernah memperoleh pelbagai anugerah antaranya Pingat Emas Kategori Usahawan dan Keseluruhan Terbaik Usahawan di SME Innovex 2018 dan Anugerah Usahawan Terbaik Orang Kelainan Upaya (OKU Penglihatan) 2016/2017.

75 USAHAWAN DI MELAKA TERLIBAT KBBM, PJM

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, seramai 75 orang usahawan di Melaka terlibat dalam program KBBM serta PJM, dan antara produk yang diketengahkan adalah produk kecantikan dan kesihatan, kraf, batik, makanan, hidroponik serta perkhidmatan.

Menurut beliau, program jelajah bagi mempromosikan KBBM dan PJM dilaksanakan secara berperingkat di pusat beli-belah dan pasar raya di Melaka bermula 13 Sept di Dataran Pahlawan Megamall, Pasaraya NSK (25 hingga 27 Sept), Tesco Peringgit (2 hingga 4 Okt).

Bagi program yang sepatutnya dianjurkan di Aeon Bandaraya Melaka (30 Okt hingga 1 Nov), Tesco Cheng (6 hingga 8 Nov), Mahkota Parade (27 hingga 29 Nov), Family Store (4 hingga 6 Dis) dan Dataran Pahlawan Megamall (18 hingga 20 Dis), pihaknya terpaksa menangguhkan buat sementara waktu disebabkan PKPB di Negeri Melaka.

“Kita turut melakukan promosi melalui Instagram KPDNHEP Melaka, Facebook, Shopee dan Lazada selain melalui hebahan di Radio Melaka.fm.

“Berdasarkan respons yang diterima daripada peniaga atau usahawan, hasil jualan mereka meningkat terutama di bawah kategori makanan,” katanya.

Untuk rekod, KBBM merupakan susulan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1998.

Penjenamaan semula kempen itu bertujuan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia serta membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

Ia juga bagi mewujud serta meningkatkan kesedaran masyarakat bahwa kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia adalah setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )