Kementerian Kewangan sasar Geran Khas Prihatin manfaatkan 700,000 PKS mikro – Zafrul

BANGI, 1 Mei — Kementerian Kewangan menyasar sebanyak 700,000 perusahaan kecil dan sederhana mikro akan menerima manfaat daripada Geran Khas Prihatin (GKP) yang berjumlah RM2.1 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata GPK adalah bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan yang akan dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“GKP adalah geran, ia dibayar secara one-off (sekali) dan tidak perlu dibayar balik,” katanya selepas lawatan kerja Hasil Care Line & Hasil Recovery Call Centre Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perasmian GKP, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata permohonan bagi geran itu dibuka mulai 1 Mei 2020 hingga 15 Mei 2020.

“Tempoh permohonan 15 hari tersebut adalah mencukupi tetapi kita terbuka. Kita mahu permohonan dibuat dalam tempoh ini agar kita boleh mempercepatkan pembayaran selepas hari ke-15. Kita mahu pastikan data adalah tepat sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Permohonan geran tersebut boleh dibuat secara dalam talian melalui portal GKP – https://gkp.hasil.gov.my – yang disediakan oleh LHDN.

Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula pada minggu pertama Jun 2020 dan pembayaran dijangka dibuat pada Jun yang akan dikreditkan ke akaun pemohon yang layak.

Antara kelayakan untuk memohon GKP adalah warganegara Malaysia dan pemohon menjalankan PKS mikro dengan jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000 serta jumlah pekerja kurang lima orang, tidak termasuk pemilik.

PKS mikro tersebut hendaklah berdaftar dengan LHDN, pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum atau pada 31 Dis 2019 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibayar secara berperingkat mulai 4 Mei melibatkan jumlah penerima seramai 8.3 juta orang dengan jumlah pembayaran sebanyak RM3.68 billion.

Daripada  jumlah ini, katanya, hampir 2.05 juta permohonan baharu dan rayuan telah diluluskan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.51 bilion, dan masih terdapat permohonan baharu dan rayuan dalam proses semakan oleh LHDN.

Pembayaran bagi permohonan baharu dan rayuan akan dibuat pada pertengahan Mei 2020.

Tengku Zafrul berkata bayaran BPN fasa pertama berjalan lancar dengan proses bayaran bermula pada 17 April kepada sejumlah 7.78 juta penerima dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.5 bilion.

“Kesemua pembayaran BPN melibatkan jumlah sebanyak RM10.7 billion bagi bulan April dan Mei. Terdahulunya kita menganggarkan RM10 bilion. Jadi, kita kena buat peruntukan tambahan, kita perlu berlaku adil. Kita melihat semua permohonan secara objektif,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )