Kelulusan perundangan NFT, mata wang kripto cetus pertumbuhan ekonomi baharu di Malaysia

Kelulusan perundangan NFT, mata wang kripto cetus pertumbuhan ekonomi baharu di Malaysia

KUALA LUMPUR,. Cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya aktiviti perlombongan kripto dan token ‘non-fungible’ atau tidak boleh ditukar ganti (NFT) dibenarkan di sisi undang-undang disambut baik oleh para pengusaha industri NFT dan mata wang kripto tempatan.

Penggiat industri GameFi tempatan, Datuk Clifford Hii berkata industri NFT dan kripto mengalu-alukan usaha kerajaan kerana ia umpama pengiktirafan pihak kerajaan terhadap betapa pentingnya industri baharu itu dan proses kelulusan perundangan merupakan langkah pertama untuk membawanya ke perhatian kalangan ramai.

“Kelulusan perundangan akan menggalakkan industri NFT dan kripto di Malaysia.

“Ramai yang memang tertarik kepada industri ini, bukan sahaja golongan muda tetapi populasi umum namun kebanyakan mereka ini akan teragak-agak untuk menceburi industri ini kerana kurang fahaman dan maklumat khususnya dari segi perundangan.

“Apabila kelulusan itu menjadi kenyataan, saya pasti industri GameFi dan teknologi kewangan (fintech) tempatan akan berkembang pesat dan rakyat Malaysia akan memperoleh manfaat daripada perkembangan ekonomi ini,” katanya kepada Bernama semalam.

Hii merupakan pengasas Metabond Group Sdn Bhd, syarikat yang sedang membangunkan permainan dalam talian Massively Multiplayer Online Role-Playing Game (MMORPG) yang pertama di Malaysia menggunakan NFT dikenali Soulbond, yang akan dilancarkan pada 26 Mac di Future Trends Summit di [email protected]

Senada dengan Hii, Jonathan Quek yang merupakan pengasas Future Trends, sebuah akademi yang membantu mereka yang ingin mengetahui tentang isu blok rantai dan mata wang kripto berkata kelulusan perundangan tersebut satu perkembangan positif untuk industri GameFi dan fintech.

“Berita tentang mata wang kripto di Malaysia biasanya tertumpu kepada serbuan terhadap aktiviti perlombongan mata wang kripto haram yang melibatkan kecurian bekalan elektrik dan penahanan ke atas mereka yang terlibat dengan jenayah itu.

“Ini telah menimbulkan persepsi negatif terhadap industri GameFi dan fintech dengan tanggapan orang ramai bahawa ia berkisar terhadap penipuan dan kecurian,” katanya.

Pengasas bersama Future Trend, Desmond Ong pula berkata kelulusan perundangan itu akan meningkatkan keyakinan golongan yang meminati NFT dan mata wang kripto untuk menceburi bidang tersebut.

“Dengan langkah ini, kerajaan telah mengutarakan mesej yang penting kepada orang awam tentang NFT dan mata wang kripto bahawa industri ini memang industri sah yang beroperasi untuk menyumbang kepada ekonomi negara pada skala besar.

“Ia diharap akan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia terutama golongan muda untuk mengetahui lebih lanjut mengenai NFT dan mata wang kripto dan mudah-mudahan akan seiring dengan saya, Quek dan Hii yang telah cukup berani untuk cuba membina masa depan yang cerah di dunia digital ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )