Kedai runcit kembali jadi pilihan ramai semasa PKP

KUALA LUMPUR,. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 kira-kira sebulan lepas, orang ramai kini nampaknya sudah membiasakan diri untuk kembali ‘mengenali’ kedai runcit.

Walaupun berhadapan dengan saingan sengit dari pasar raya besar selaras dengan arus peredaran zaman; dalam persekitaran PKP ketika ini kelebihan dilihat lebih berpihak kepada kedai runcit; yang lokasinya tidak jauh pun dari kediaman ramai, namun kepentingannya sering dipandang enteng.

Dari satu sudut, PKP ini dilihat sebagai satu rahmat yang terselindung bagi pengusaha kedai runcit, dan juga buat para pelanggannya, mungkin satu kebiasaan baharu sedang muncul.

Asmah Harun, 58, yang mengendalikan kedai runcit di Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu, adalah antara yang merasa gembira melihat ramai pelanggan yang berkunjung ke kedainya sejak kebelakangan ini, berbanding sebelum PKP dilaksanakan.

“Walaupun saya tidak buka kedai sehingga lewat malam, hasil jualan nampak tetap lebih baik, kerana jumlah pelanggan meningkat. Sebelum ini hanya beberapa penduduk kampung sini sahaja yang datang ke kedai saya, tapi sekarang penduduk kampung berhampiran pun datang beli barang di sini. Terlalu ramai (pelanggan) sehingga polis terpaksa datang untuk kawal keadaan, dan memastikan jarakan sosial dipatuhi,” katanya kepada Bernama.

Asmah berkata beliau terpaksa mengambil stok barang yang lebih banyak daripada pembekal berbanding sebelum ini, bagi memenuhi permintaan yang melonjak, boleh dikatakan secara tiba-tiba.

Selain itu, beliau turut membenarkan beberapa penduduk kampung meletakkan makanan yang dibungkus dikedainya, untuk dijual kepada pelanggan.

Asmah berkata kebanyakan lelaki memilih untuk berbelanja di kedainya, kerana ia lebih mudah – hanya serahkan sahaja satu senarai barang-barang yang hendak dibeli kepada pembantu kedai, dan semuanya akan diuruskan, tanpa perlu mereka ke sana sini mencari barangnya.

Mohd Fazil Ibrahim, 45, seorang pelanggan kedai runcit di Penaga, Kepala Batas, Penang, berkata kedai runcit yang terletak hampir dengan rumahnya sangat banyak membantu semasa tempoh PKP, tambahan pula dia tidak perlu berbaris panjang untuk membuat pembayaran, sebagaimana kebiasaan bagi pasar raya besar.

Kedai runcit itu turut menjual segala jenis barang keperluan termasuk sayur-sayuran segar, ikan, udang, daging, dan bermacam lagi.

“Saya juga boleh berhutang, memang saya ada berhutang di kedai sini,” katanya.

Kedai runcit di selatan negara, di Johor Bahru, juga ketika ini dilihat menjadi pilihan ramai.

Nur Faezah Mohd Khalid, 30, berkata beliau sering mengunjungi kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 800 meter dari rumahnya di Larkin sejak PKP dikuatkuasakan.

Sebelum ini tempat yang sering menjadi pilihannya adalah pasar raya, pasar basah, pasar tani dan juga pasar malam.

“Ia bukan sahaja soal menjimatkan masa, tapi juga soal keselamatan. Saya lebih risaukan keselamatan anak-anak kecil, perlu elak daripada membawa mereka berbelanja di tempat-tempat kunjungan ramai,” katanya kepada Bernama, sebagai merujuk kepada kebimbangan wabak COVID-19.

Pandangan beliau turut dipersetujui oleh seorang suri rumah Ainy Md Yunos, 68, dari Kota Bharu, Kelantan.

Pembantu jurutera Radio Televisyen Malaysia Salizah Duasa, 32, yang tinggal di Negeri Sembilan pula berkata, beliau tidak risau untuk berbelanja di kedai runcit di Seremban 2 kerana pengusaha kedai itu memastikan jarakan sosial dipatuhi, di samping menyediakan pensanitasi tangan.

“Untuk pergi ke pasar raya besar, perlu melalui sekatan jalan raya, manakala untuk beli secara dalam talian pula, ia mengambil masa sebelum barang itu sampai. Lebih mudah berbelanja di kedai runcit sahaja. Lagi pun tidak ada banyak bezanya dari segi harga,” katanya.

Tinjauan di Ipoh, Perak, mendapati kedai runcit, atau sering dirujuk sebagai Kedai Acheh, juga amat popular dalam kalangan orang ramai sejak kebelakangan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )