KEDA fokus program keusahawanan, pertanian bangunkan semula ekonomi – Abd Latiff

KEDA fokus program keusahawanan, pertanian bangunkan semula ekonomi – Abd Latiff

KUALA LUMPUR,. Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) komited memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan usahawan dan pertanian bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di wilayah KEDA dalam mendepani impak daripada pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata KEDA akan memperluaskan program keusahawanan yang telah dilaksanakannya dalam usaha membantu usahawan di kawasan luar bandar dalam wilayah KEDA.

Gambar Hiasan

Selain itu, KEDA juga akan memberi fokus kepada aktiviti pertanian di kawasan seluas kira-kira 979 hektar untuk menyumbang kepada industri pengeluaran makanan negara di samping membantu meningkatkan pendapatan para peserta yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Abd Latiff berkata antara projek pertanian yang dilaksanakan KEDA adalah Projek Peningkatan Ekonomi Petani Kedah (PPEPK) yang melibatkan kawasan seluas 391 hektar, Projek Pemulihan dan Menaik Taraf Sawah dan Tanah Terbiar di kawasan seluas 219 hektar, Projek Penanaman Semula Kelapa Sawit seluas 269 hektar dan Projek Ladang Sejahtera Agropolitan Sik seluas 100 hektar.

“Selain daripada membangunkan semula ekonomi kumpulan sasar di wilayahnya, KEDA juga turut memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dan pengupayaan komuniti luar bandar khususnya kepada golongan belia luar bandar menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan oleh Kolej KEDA.

“Manakala Program Pembangunan Hartanah dan Prasarana KEDA memberi fokus kepada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Pemajuan Kawasan (PPK), Projek Baik Pulih dan Bina Baru Rumah, Program Naik Taraf Prasarana Luar Bandar dan Program Jalan Perhubungan Desa,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )