Kaedah tradisional pembuatan kuih bakul terus diamalkan tiga generasi di P.Pinang

BALIK PULAU,. Kaedah tradisional pembuatan kuih bakul atau ‘Nian Gao’ yang melambangkan tuah dan kemakmuran sempena Tahun Baharu Cina, terus diamalkan oleh sebuah keluarga di Balik Pulau sejak tiga generasi lalu.

Tinggal di tepi gunung di Jalan Tun Sardon, suri rumah Lee Li Yong, 51, dibantu saudara-mara dengan berpakaian serba merah, mengumpulkan bahan yang diperlukan dari belakang rumah mereka untuk persediaan membuat kuih bakul.

Ada antara mereka yang membelah kayu api dan melayurkan daun pisang di atas api, manakala yang lain membuat adunan kuih diperbuat daripada tepung pulut, air dan gula serta mengisinya dalam tin silinder sebelum mengukus kuih bakul tersebut.

Lee berkata, kaedah tradisional membuat kuih bakul diwarisi daripada neneknya.

Katanya, pada awal pembabitannya beliau sekadar berminat untuk belajar cara membuat kuih itu daripada neneknya, namun kini, pembuatan kuih itu menjadi tradisi tahunan buat keluarga setiap kali menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya telah membuat kuih bakul selama lebih 30 tahun, tetapi kami hanya mula menjualnya sekitar lima hingga enam tahun yang lalu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau menjelaskan sebab utama mereka tidak menjual kuih bakul itu sebelum ini kerana proses menghasilkan tepung pulut yang rumit.

Beliau berkata sebelum ini keluarga itu menggunakan batu pengisar secara manual untuk mengisar beras pulut untuk menghasilkan tepung, yang merupakan proses yang paling sukar dalam pembuatan kuih bakul.

“Oleh kerana itu, saya memutuskan untuk membeli mesin yang boleh membantu menjadikan proses itu lebih mudah untuk kami dan dapat menghasilkan lebih banyak kuih bakul, supaya kami dapat menjualnya,” katanya sambil menambah mereka boleh menghasilkan lebih 400 kuih bakul pelbagai saiz dalam sehari.

Beliau berkata selain mesin itu, kebanyakan proses membuat kuih bakul masih secara tradisional seperti menggunakan kayu api sebagai bahan api untuk memasak secara perlahan dan mengukusnya serta menggunakan daun pisang untuk membungkus kuih bakul.

Menurutnya, proses mengukus akan mengambil masa kira-kira 12 hingga 14 jam, diikuti dua hari lagi untuk membolehkan kuih bakul itu sejuk sebelum boleh dihidangkan.

“Ia adalah proses yang panjang dan perlahan, tetapi kami mahu mengekalkan rasa tradisional dalam kuih bakul kami supaya semua orang dapat menikmati kuih bakul ini yang disediakan oleh tiga generasi terakhir,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perniagaannya menjual kuih bakul itu tidak banyak terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana beliau hanya berurusan dengan pelanggan tetap dan rakan terdekat mereka.

“Kami tidak mengharapkan untuk jualan yang tinggi bagi kuih bulan ini, ia hanyalah untuk mereka yang mengenali kami dan ingin mencuba kuih bakul ini dan menyokong kami,” tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )