Kadar pematuhan SOP di sektor peruncitan amat tinggi

Kadar pematuhan SOP di sektor peruncitan amat tinggi

KUALA TERENGGANU,. Kerajaan mendapati kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di sektor peruncitan setakat ini adalah amat tinggi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan pemeriksaan terhadap 402,929 premis hingga 1 Mac lepas, pematuhan SOP sektor peruncitan di seluruh negara adalah pada kadar 97.9 peratus.

“Daripada pemeriksaan itu, KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) telah mengeluarkan sebanyak 151 kompaun,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Pasar Kedai Payang di sini hari ini.

Nanta berkata kementerian telah memilih pasar-pasar utama di seluruh negara sebagai sasaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan iaitu Pasar Kedai Payang di sini; Pasar Satok di Kuching, Sarawak; Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Sabah; Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan; Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah; dan Pasar Chowrasta di Georgetown, Pulau Pinang.

Pasar-pasar yang menjadi tumpuan pelancong domestik ini akan dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima kunjungan pengunjung dari dalam dan luar negeri dengan pematuhan SOP tinggi, apabila sektor pelancongan domestik dibuka kelak.

Dalam perkembangan lain, Nanta juga meminta pengguna supaya melaporkan kepada KPDNHEP atau pihak berkuasa jika ada mana-mana pihak mendakwa mereka menjual vaksin COVID-19.

“Setakat ini belum ada aduan, tetapi kita akan sentiasa memantau agar ia tidak berlaku,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )