Jurutera, isteri berhenti kerja kilang, jadi usahawan donat susu

Oleh Alia Siti Khadijah Azhar

BUTTERWORTH, 6 Feb — Sepasang suami isteri mengambil keputusan berani untuk meninggalkan kerja di sektor perkilangan, dan memulakan perniagaan donut susu di tepi jalan menggunakan resipi turun temurun milik keluarga, ketika negara berhadapan situasi pandemik COVID-19.

Nur Farahanah Abd Rahman, 23, yang baharu mendirikan rumah tangga bersama Mohd Nhazrhill Tahar, 27, seorang jurutera kilang sekitar lapan bulan lalu, memulakan perniagaan donut susu secara kecil-kecilan melalui dalam talian terlebih dahulu pada Julai tahun lalu sebelum membuka gerai di tepi Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, sejak lima bulan lalu.

Pasangan suami isteri itu mempelajari resepi turun temurun donut tersebut daripada ibu Mohd Nhazrhill, Rosemah Patuok, 50, yang berasal dari Bintulu, Sarawak yang turut menjalankan perniagaan makanan itu di sana.

“Kami bawa mama ke sini pada bulan Jun 2020 untuk mempelajari resepi dan mengambil masa selama satu bulan untuk mempelajari teknik dan resipi penghasilan donut susu ini. Bukan mudah untuk menghasilkan donut ini dan resipinya bukan seperti resipi donut biasa.

“Kami ada resipi rahsia yang tidak menggunakan tepung gandum, kerana itu donut kami lembut walaupun sehingga malam. Donut kami juga tidak terlalu manis, kerana itu rasanya orang ramai suka,” kata Nur Farahanah kepada Bernama ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.

Wanita itu berkata, beliau dan suami akan menghasilkan doh bermula jam 10 pagi setiap hari kecuali pada hari Ahad, dan kebiasaannnya sebanyak 32 kilogram doh donut akan habis dijual dalam masa satu hari bermula jam 12 tengah hari sehingga jam lima petang.

Donut susu itu dijual dengan harga RM1 bagi empat biji.

Di gerai, beliau dan suami serta pekerja mereka menjalankan kerja-kerja menghasilkan donut iaitu menguli doh, menggoreng seterusnya menyaluti donut yang telah digoreng dengan susu tepung yang dicampur dengan gula kastor dan resepi itu berbeza dengan resepi donut biasa yang hanya disaluti oleh gula.

Optimis dengan perniagaan itu, Nur Farahanah berkata beliau tidak sesekali menyesal memilih cara baharu untuk menambah pendapatan, biarpun sedar akan cabaran yang bakal dihadapi peniaga apatah lagi di musim negara sedang kembali dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang berkemungkinan berdepan penurunan hasil jualan.

Tambahnya beliau bersyukur kerana perniagaannya mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan kini mampu menggaji tiga pekerja bagi melicinkan urusan tempahan dan permintaan terhadap donut susu itu.

Beliau juga bersyukur kerana setakat ini, pendapatannya dan suami kini tiga kali ganda lebih tinggi berbanding ketika bekerja di kilang.

Sebelum membuat keputusan untuk memulakan perniagaan, Nur Farahanah mengakui beliau dan suami sedikit gusar kerana risau perniagaan kecil itu tidak mampu untuk menampung kos sara hidup ketika penularan wabak COVID-19, namun keputusan itu tetap diambil kerana tidak mahu merisikokan diri di tempat kerja, selain minat mendalam terhadap dunia perniagaan.

“Saya dan suami berhenti kerja kerana tahu sektor perkilangan ini tinggi risikonya terutamanya ketika musim penularan wabak. Tambah pula, kilang yang kami kerja sebelum ini tidak mewujudkan suasana yang selamat dan kondusif.

“Bagi mereka yang terpaksa berhenti atau kehilangan kerja, jangan putus asa kerana percayalah, usaha kita akan membuahkan hasil. Jangan hanya duduk mengenangkan nasib,” katanya yang merupakan bekas kerani di kilang yang sama tempat suaminya bekerja.

Beliau yang merupakan siswi lepasan Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Pengurusan Pejabat dan Mohd Nhazrhill yang menamatkan pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam bidang Kejuruteraan, sebelum ini bekerja di kilang yang sama sebelum mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada Februari 2020.

Sebelum memulakan perniagaan donut susu itu, mereka menjalankan perniagaan pelbagai jenis barangan secara dalam talian.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )