Jumlah koperasi wanita berada pada tahap sangat rendah

Jumlah koperasi wanita berada pada tahap sangat rendah

JITRA,. Jumlah koperasi wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh golongan itu berada pada tahap sangat rendah iaitu pada 1.8 peratus atau 248 koperasi daripada jumlah keseluruhan 14,668 koperasi yang berdaftar di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, komposisi anggota bagi kesemua koperasi wanita itu pula hanya 18,750 anggota daripada golongan wanita atau 0.31 peratus daripada jumlah 6.1 juta anggota koperasi di seluruh negara.

“Koperasi wanita menyumbang RM5.6 juta atau 0.03 peratus kepada keseluruhan perolehan koperasi yang berjumlah RM21.2 bilion pada 30 Jun 2020. Jumlah itu dilihat sangat rendah kerana tidak mampu untuk mencapai tahap 0.5 peratus.

“Perak mencatatkan jumlah koperasi wanita tertinggi iaitu sebanyak 30, diikuti Johor (29), Selangor (26) manakala Kedah mempunyai 17 koperasi wanita. Kebanyakan koperasi wanita terlibat dalam aktiviti fungsi perkhidmatan dengan 42 peratus manakala pengguna sebanyak 31 peratus,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, penglibatan wanita yang sedikit itu berlaku akibat kurangnya kesedaran serta ada wanita yang takut dan tidak berani untuk tampil ke hadapan bagi mentadbir koperasi kaum hawa.

“Jadi, kita mahu mengubah dan memperkasakan koperasi wanita. Di pihak kementerian pula, saya sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Keusahawanan dan Koperasi Wanita selain berkolaboratif dengan beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkasakan golongan ini.

“Kita mahu buat gerakan besar-besaran bagi memberi maklumat jelas betapa pentingnya kaum ibu dan wanita untuk melibatkan diri dalam koperasi bagi membantu menjana pendapatan mereka. Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap jumlah wanita yang terlibat dalam koperasi ini mampu mencecah sehingga 20 peratus,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gerakan Koperasi Kedah 2021 di Pejabat Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu Berhad yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Gerakan Koperasi Negeri Kedah dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada koperasi dan beberapa pihak yang terjejas akibat penularan COVID-19 yang melibatkan jumlah keseluruhan RM283,500.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )