Jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 naik 24.8 peratus kepada RM203.0 bilion

Jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 naik 24.8 peratus kepada RM203.0 bilion

KUALA LUMPUR,. Jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 meningkat 24.8 peratus tahun ke tahun kepada RM203.0 bilion dengan eksport mencatatkan peningkatan 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion dan import naik 26.4 peratus kepada RM92.3 bilion.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM44.8 bilion (40.4 peratus daripada jumlah eksport) pada Januari 2022.

“Di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi produk E&E bernilai RM26.2 bilion (58.5 peratus), diikuti Selangor yang bernilai RM6.0 bilion (13.3 peratus) dan Johor sebanyak RM4.8 bilion (10.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eksport pada Januari 2022 pula meningkat sebanyak RM21.1 bilion (23.5 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM5.0 bilion), Johor (RM4.0 bilion), Sarawak (RM3.7 bilion), Selangor (RM3.6 bilion), Kedah (RM1.8 bilion), Sabah (RM1.4 bilion), Pahang (RM732.3 juta), Labuan (RM713.8 juta), Terengganu (RM511.0 juta), Kuala Lumpur (RM278.9 juta), Kelantan (RM66.2 juta) dan Perlis (RM33.1 juta).

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (RM610.2 juta), Melaka (RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM68.9 juta),” kata Mohd Uzir.

Menurutnya, import juga meningkat RM19.3 bilion (26.4 peratus) pada Januari 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan import dicatatkan di Selangor (RM4.7 bilion), Pulau Pinang (RM4.0 bilion), Johor (RM3.4 bilion), Kedah (RM2.4 bilion),Kuala Lumpur (RM1.6 bilion), Sarawak (RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (RM673.0 juta), Pahang (RM525.5 juta), Melaka (RM151.9 juta), Perak (RM143.0 juta), Terengganu (RM115.1 juta), Sabah (RM98.2 juta) dan Perlis (RM22.5 juta).

Bagaimanapun, import mencatatkan penurunan di Kelantan (RM162.8 juta) dan Labuan (RM37.9 juta).

Antara lima negeri pengeksport utama menyaksikan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.3 peratus, diikuti oleh Selangor (19.0 peratus), Johor (18.3 peratus), Sarawak (7.8 peratus) dan Kedah (4.1 peratus).

Sementara itu, bagi import, Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan 27.3 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (24.4 peratus), Johor (18.9 peratus), Kuala Lumpur (7.0 peratus) dan Kedah (6.6 peratus).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )