Jualan sektor pembuatan catat nilai tertinggi RM144.6 bilion pada Mac 2022

Jualan sektor pembuatan catat nilai tertinggi RM144.6 bilion pada Mac 2022

KUALA LUMPUR,. Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 13.9 peratus dan mencecah angka tertinggi RM144.6 bilion pada Mac 2022 berbanding RM126.9 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia Mac 2022 yang diterbitkan hari ini, ia berkata nilai jualan terbabit juga meningkat sebanyak 9.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan pada Mac 2022 itu dipacu oleh subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik (25.9 peratus) terutama dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

“Pengembangan ini juga didorong oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (14.4 peratus) yang disokong oleh industri pembuatan produk makanan dan subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.3 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang sebanyak 72.2 peratus daripada jumlah nilai jualan telah mencatat peningkatan 16.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik merekodkan kenaikan 7.1 peratus pada Mac 2022 berbanding bulan sama tahun lepas.

“Pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport adalah selari dengan trend eksport perdagangan luar negara serta faktor harga yang kekal memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya, bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing merekodkan peningkatan 11.2 peratus dan 6.4 peratus.

Selain itu, pada suku pertama 2022, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 12.8 peratus kepada RM415.3 bilion berbanding suku tahun sama bagi tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini didorong oleh kenaikan dalam produk peralatan elektrik dan elektronik (17.6 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (16.3 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (9.7 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata bilangan pekerja, gaji dan upah masing-masing meningkat 2.4 peratus dan 4.1 peratus pada suku tahun pertama 2022.

Laporan itu juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat 4.4 peratus atau RM328.6 juta kepada RM7,842.9 juta pada Mac 2022 berbanding bulan sama pada 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )