JENDELA perkasa inisiatif ekonomi digital Sabah, Sarawak

JENDELA perkasa inisiatif ekonomi digital Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR,. Dalam kehidupan serba canggih, akses kepada kemudahan Internet dianggap sebagai satu keperluan penting masyarakat untuk terus kekal berhubung secara digital, lebih-lebih lagi ketika pandemik melanda yang menyaksikan pendigitalan dipacu secara lebih meluas.

Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited memastikan setiap rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak akan mempunyai akses kepada kemudahan Internet meskipun tinggal jauh di pedalaman.

Sehubungan itu, sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 (2020-2022) dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion dan Sarawak RM4.09 bilion.

MANFAAT PENDIGITALAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menerangkan manfaat ekonomi digital kepada penduduk ketika mengadakan lawatan Program Kembara Connectivity di Kampung Mongkos, Sarawak baru-baru ini.

Peruntukan tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada ucapan perutusan sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), September lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan bagi Sarawak adalah untuk membina kira-kira 749 menara telekomunikasi baharu di negeri tersebut.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha kerajaan Sarawak yang memacu dan memantapkan lagi penggunaan ekonomi digital untuk rakyatnya.

“Melalui peruntukan ini juga sekali gus dapat meningkatkan pembinaan infrastruktur digital seperti pemancar telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan Program Kembara Connectivity di Kampung Mongkos, Sarawak baru-baru ini.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, sebanyak 78 daripada 589 menara baharu di bawah JENDELA di Sabah telah siap dibina oleh MCMC setakat 30 September lepas.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara akan ditransformasi menjadi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

PEDi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 November lalu akan menyaksikan sebanyak 873 PEDi di seluruh negara dipertingkat dan dipergiatkan untuk melahirkan serta memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing, terutamanya masyarakat luar bandar.

Selain itu, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022, sementara sebanyak 173 PEDi lagi akan beroperasi menjelang penghujung tahun hadapan. Ini menjadikan sebanyak 1,083 PEDi akan beroperasi di seluruh negara.

Annuar berkata, PEDi akan membolehkan penduduk kampung mempelajari aplikasi menukar aktiviti ekonomi di luar bandar kepada ekonomi digital.

“Penduduk tempatan akan diberi latihan oleh pihak PEDi cara menyertai platform e-dagang antarabangsa seperti Shopee, Yezza untuk menembusi pasaran global.

“Pada masa sama, mereka juga akan diajar cara untuk memasarkan produk mereka seperti penjenamaan produk, mengambil gambar atau video produk yang sesuai dan lain-lain lagi,” katanya.

PEDi bantu usahawan tingkatkan hasil jualan

PEDi merupakan satu inisiatif di bawah MCMC untuk menyediakan kemudahan Internet kepada kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan serta meningkatkan kemahiran dan pengetahuan berasaskan komputer yang amat diperlukan pada masa ini.

PEDi juga berperanan sebagai pusat pembelajaran yang menyediakan pelbagai latihan, program kesedaran dan penglibatan komuniti.

Antara perkhidmatan yang disediakan oleh PEDi ialah kemudahan melayari Internet, mencetak, fotokopi, kelas asas latihan kemahiran asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan lain-lain.

Selain itu, pelbagai program keusahawanan digital telah dilaksanakan di PEDi bagi membimbing usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih luas menerusi platform e-dagang.

BERKEMBANG: Syarikat Que Mushroom Company milik Mohammad Zakaria mengeluarkan produk cendawan segar.

Salah seorang usahawan yang berjaya dibimbing oleh PEDi Kampung Pasir Pandak, Sarawak, Haszian Junaidi berkata, tunjuk ajar petugas PEDi yang lebih mendalam menerusi kelas keusahawanan banyak membantu beliau meluaskan perniagaan.

“Melalui ilmu yang saya pelajari di PEDi dapat membantu saya menambah baik cara pengiklanan produk melalui media sosial dengan cara yang sesuai, terutamanya pada musim pandemik.

“Selain itu, saya juga diberi pendedahan dan tunjuk ajar untuk menjadi seorang usahawan yang lebih yakin untuk terus maju dalam perniagaan saya,” katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Borneo baru-baru ini.

Haszian yang merupakan pengedar Pes Laksa Sarawak Jenama Mom’s turut memberitahu, peningkatan jualannya meningkat setelah menerima latihan daripada PEDi.

“PEDi memang sesuai dijadikan platform dan juga one ‘stop centre’ untuk membantu mempromosikan produk hasil keluaran Syarikat Bunga Azimat dan jenama Mom’s Recipe,” katanya.

Haszian berharap lebih ramai usahawan khususnya komuniti dan penduduk Kampung Pasir Pandak sendiri menjadikan PEDi di kampung tersebut sebagai cabang bagi memperluaskan perniagaan mereka.

Bagi usahawan kecil, Mohammad Zakaria Jamsari, jualan perniagaannya berjaya memecah rekod jualan RM4,500 sebulan dan ke atas dengan bantuan PEDi Kampung Pasir Pandak.

“Sebelum ini saya hanya menjalankan perniagaan pertanian iaitu menjual cendawan hasil tanaman sendiri secara sambilan dan atas permintaan yang semakin meningkat, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan fokus untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.

“Melalui program keusahawanan digital yang disediakan oleh PEDi, saya mula menjual hasil cendawan saya secara dalam talian menggunakan platform Facebook dan Instagram.

“Program latihan yang disediakan oleh PEDi ini sangat membantu dan permintaan produk saya menunjukkan perkembangan yang sangat baik.

“Saya juga yakin program ini banyak memberi manfaat kepada usahawan lain khususnya peniaga kecil seperti saya.

“Melalui bimbingan PEDi ini juga, saya diberi tunjuk ajar menggunakan Microsoft Power Point sebagai langkah persediaan untuk membentangkan hasil perusahaan saya kepada mereka yang berminat khasnya organisasi untuk membeli hasil cendawan yang saya usahakan,” katanya.

Syarikat Que Mushroom Company milik Mohammad Zakaria mempunyai ladangnya sendiri dan mengeluar produk cendawan segar iaitu cendawan tiram kelabu dan cendawan tiram putih.

Beliau berkata, pihaknya turut menghasilkan beberapa jenis cendawan yang terhad pengeluarannya iaitu Cendawan Tiram Kuning, Cendawan Tiram Pink dan Cendawan Telinga Kera.

“Selain menjual cendawan segar. Kami juga menjadikan cendawan sebagai produk hiliran iaitu Pekasam Cendawan,” katanya.

Pembangunan keusahawanan merupakan salah satu fokus utama di PEDi Kampung Pasir Pandak dalam usaha memperkasakan usahawan tempatan ke arah pendigitalan yang inovatif.

Sehingga September 2021, sejumlah 1,380 peserta dari komuniti setempat telah menyertai program yang disediakan oleh PEDi Kampung Pasir Pandak dan 41 usahawan telah dilatih dan mendapat manfaat melalui programnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )