Jenama Aisuka.Life martabatkan kraf tangan suri rumah B40

GEORGE TOWN, 10 Okt — Hasil kraf tangan suri rumah di Pulau Pinang khususnya golongan B40, akan diangkat menjadi komoditi gaya hidup melalui jenama Aisuka.Life, melalui kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat Aimpactz Social Enterprise.

“Visi Penang 2030, yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar. Di bawah misi ini, salah satu agenda adalah meningkatkan pendapatan isi rumah. Ia adalah salah satu inisiatif untuk mencapai sasaran 40 peratus usahawan wanita di Pulau Pinang menjelang 2030, di mana pada masa ini hanya 16 peratus,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Chong Eng.

“Justeru itu, apabila saya mengetahui mengenai Aisuka.Life, sebuah jenama yang didorong oleh masyarakat yang menggabungkan kelestarian, penglibatan masyarakat, keusahawanan sosial dan elemen perniagaan dalam talian, saya gembira untuk menyokong dan memberi jaminan kepada jenama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Aisuka.Life di sini, hari ini.

Sementara itu, pemilik Aimpactz Social Enterprise Dr Choong Jian Ming berkata, ketika ini terdapat sembilan orang suri rumah yang aktif menghasilkan kraf tangan, di bawah inisiatif berkenaan.

“Kami menyediakan kelas untuk mengajar mereka menghasilkan pelbagai jenis beg tangan yang mampu menarik minat pembeli. Kami akan mempromosikan barangan tersebut untuk dijual di pasaran tempatan dan menyasarkan ia dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

“Setakat ini, beg-beg ini boleh diperoleh sebagai cenderamata di dua pusat pelancongan iaitu The Habitat dan Tropical Spice Garden, dan kita akan berkerjasama dengan lebih banyak pihak lagi pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )