Industri perkhidmatan penting boleh serap lebihan tenaga kerja – Ketua Perangkawan

KUALA LUMPUR,. Kadar pengangguran di negara ini terus mencatatkan peningkatan akibat penularan wabak COVID-19.

Jabatan Statistik Malaysia menerusi Kajian Statistik Ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun 2020 mendapati kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus berbanding 3.5 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, lebihan tenaga kerja di industri yang terjejas boleh diserap ke dalam industri perkhidmatan penting.

Ia sekali gus dapat mengurangkan jurang kemahiran yang dihadapi setiap pekerja dalam meningkatkan kebolehpasaran dan kemampuan setiap tenaga kerja.

“Melangkah ke hadapan, diperlukan polisi pasaran buruh yang dinamik untuk mengatasi ketidakseimbangan pasaran buruh ini.

“Lebihan tenaga kerja di industri yang terjejas seperti tempat tinggal dan runcit perlu disalurkan semula ke industri yang telah menyaksikan lonjakan permintaan buruh untuk memaksimumkan produktiviti,” katanya.
Menurutnya, dalam jangka masa pendek, kekurangan tenaga kerja diramalkan dalam industri perkhidmatan penting iaitu kesihatan, pertanian dan makanan.

Ini kerana, wujud permintaan meningkat dalam industri ini.

“Oleh itu, sektor-sektor ini berpotensi untuk menyerap tenaga kerja yang menghadapi kehilangan pekerjaan” tambahnya.

Demi memastikan setiap tenaga kerja dapat menyesuaikan kemahiran mereka, Mohd Uzir berkata, pelbagai latihan dari agensi kerajaan boleh digunakan sepenuhnya.

Ia termasuk latihan yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Untuk rekod, sebanyak 15.8 juta tenaga pekerja di negara ini merangkumi 68.8 peratus tenaga buruh.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )