Industri kayu-kayan bakal peroleh khidmat 80 jurutera lulusan universiti tempatan

Industri kayu-kayan bakal peroleh khidmat 80 jurutera lulusan universiti tempatan

PUTRAJAYA,. Industri kayu-kayan akan memperoleh khidmat jurutera lulusan universiti tempatan melalui Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021, dengan 80 siswazah akan terlibat dalam pengambilan pertama program itu bulan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata program itu merupakan kerjasama Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan lapan universiti antaranya Universiti Putra Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA.

“Melalui program ini, nilai kebolehpasaran siswazah dapat dipertingkat selain memantapkan inovasi dan pembangunan industri kayu-kayan,” katanya selepas pelancaran program itu serta menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MTC, persatuan kayu-kayan dan institusi pengajian tinggi, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurut Khairuddin, industri kayu-kayan yang merupakan subsektor komoditi ketiga terbesar negara, mencatatkan prestasi eksport yang baik tahun lepas iaitu RM22.1 bilion walaupun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Jumlah nilai eksport kayu-kayan itu mewakili 14 peratus daripada jumlah eksport komoditi negara dan 2.2 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan eksport barangan negara, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC Muhtar Suhaili berkata MTC menanggung kos latihan selain menyediakan elaun sebanyak RM2,000 kepada peserta.

Menurutnya, program penempatan jurutera adalah program setahun untuk mereka menjalani latihan di tempat kerja di bawah bimbingan profesional, sementara latihan prasiswazah pula terbuka kepada mahasiswa.

Pengerusi MTC Mazli Zakuan Mohd Noor dalam ucapannya pada majlis itu berkata latihan yang disediakan menerusi program berkenaan adalah mengikut keperluan dan kesesuaian industri kayu-kayan yang dirangka bersama UPM Holdings dan Selangor Human Resource Development Centre.

“Program ini bakal menyaksikan jurutera, lulusan teknologi perkayuan serta mahasiswa diserap ke dalam syarikat berasaskan kayu bagi tujuan penempatan dan latihan prasiswazah,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )