Industri fintech Islam tetapkan keutamaan strategik pacu inklusi kewangan

KUALA LUMPUR,. Pemegang kepentingan dan pemain ekosistem teknologi kewangan (fintech) Islam telah menetapkan sembilan bahagian keutamaan strategik yang akan mengukuhkan dan meningkatkan lagi inklusi kewangan di Malaysia.

Penerbit berita kewangan Islam REDmoney Group dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata daripada bahagian keutamaan strategik ini, yang paling kritikal adalah membentuk pasukan petugas khas teknologi kewangan Islam nasional; fokus baharu meningkatkan celik digital dan kewangan Islam terutamanya dalam segmen B40; membangunkan perkongsian pintar dalam kalangan pemain ekosistem; dan memastikan kesediaan tinggi dalam kalangan institusi Islam untuk menerapkan pendigitalan.

“Faktor penting kepada kejayaan inisiatif ini adalah kerjasama antara peserta industri – pemula niaga, institusi kewangan, badan agama serta kerajaan dan pengawal selia,” katanya.

Sembilan bahagian keutamaan strategik itu dirangka berdasarkan kepada input daripada penggubal keputusan dan pemimpin daripada industri semasa Dialog Teknologi Kewangan Islam 2020: Memacu Inklusi Kewangan menerusi teknologi kewangan Islam yang diadakan secara maya pada Mei. Sesi dialog itu dianjurkan oleh REDmoney dan MDEC.

“Dapatan utama daripada sesi dialog itu adalah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan, inisiatif yang bertujuan memanfaatkan penerajuan global kewangan Islam negara dan aspirasi ekonomi digital untuk mewujudkan pertumbuhan mampan di samping memastikan akses pasaran yang adil dan saksama bagi semua rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata dengan penularan pandemik COVID-19 masih berlaku, perniagaan, sektor awam dan masyarakat umum kini menyedari dan memahami betapa penting untuk melakukan anjakan digital.

“Meskipun perniagaan lebih besar dan korporat boleh mengemudi dan beralih dengan pantas untuk melaksanakan pendigitalan, kebanyakan perniagaan kecil masih bergelut untuk bertahan.

“Malahan, inklusi kewangan kini merupakan satu daripada faktor utama yang dapat mengekalkan dan memacu ekonomi,” katanya.

Surina berkata meskipun ia memberikan penjimatan kos digital dalam kalangan penduduk kurang bernasib baik, perkhidmatan kewangan digital juga boleh memperkenalkan pelbagai penyelesaian yang disesuaikan dengan kehendak mereka.

Apa yang lebih kritikal adalah bagaimana penyelesaian teknologi kewangan ini boleh dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab dan menjimatkan kos bagi memastikan ia benar-benar berpatutan kepada pelanggan dan mampan bagi penyedia.

“Matlamat akhir adalah bagi memastikan kumpulan B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan diperkasakan menerusi teknologi kewangan Islam dan inklusi kewangan,” kata Surina.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )