Industri fesyen berkembang lebih maju ketika PKP dengan e-dagang

Industri fesyen berkembang lebih maju ketika PKP dengan e-dagang

KUALA LUMPUR,. Perang melawan pandemik COVID-19 banyak mengubah kehidupan masyarakat di negara ini, ada yang menjadi penganggur, tidak terkecuali peniaga dan usahawan, dengan ada yang terpaksa ‘gulung tikar’.

Antara yang terkesan ialah industri fesyen dan kebanyakan terpaksa menutup butik serta premis kerana beban kewangan kos sewa dan stok tinggi meskipun tidak beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih ada yang tidak mudah berputus asa, sebaliknya penerokaan platform ekonomi digital atau e-dagang menjadi batu loncatan untuk membolehkan industri itu dapat bertahan serta berkembang di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Selain itu, keberkesanan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Tiktok menyaksikan ramai usahawan baharu mengiklan, mempromosi serta memasarkan produk di alam maya.

Antara yang menyedari betapa pentingnya platform ekonomi digital ketika pandemik ialah usahawan fesyen muslimah, Faridah Hanom Samsudin yang memanfaatkan platform maya untuk mengembangkan penawaran produk berasaskan muslimah.

Beliau yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliyah Sdn Bhd itu mengakui bahawa kuasa media sosial itu sedikit sebanyak membantu menstabilkan perniagaannya ketika krisis pandemik yang masih berlarutan ini memandangkan masyarakat banyak menghabiskan masa dalam media sosial setiap hari.

“Saya tidak dapat menafikan cara konvensional lebih bagus sebelum pandemik kerana kebanyakan pelanggan lebih suka mencuba sendiri pakaian di premis atau butik sebelum membelinya.

“Namun bagi menyesuaikan dengan norma baharu ini, ekonomi digital lebih mudah untuk diakses kerana pelanggan tidak perlu lagi keluar dari rumah namun dapat membeli-belah menerusi internet,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Faridah Hanom, menerusi e-dagang dan media sosial, peniaga bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan, selain dapat menjangkau pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada dengan menggunakan gajet mereka.

“Selain itu, ekonomi digital dilihat berpotensi mengembangkan kreativiti serta inovasi usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membuka peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat dalam situasi genting ini,” katanya.

PELAN SANDARAN KETIKA KRISIS

Faridah Hanom yang berkecimpung dalam dunia fesyen muslimah sejak lapan tahun lalu berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya turut berhadapan dengan situasi panik dan buntu apabila kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh pada Mac 2020 untuk mengawal penularan wabak COVID-19.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa menutup premis perniagaan selama tiga bulan termasuk ketika bulan Ramadan.
Pada kebiasaannya sebelum pandemik, pihak beliau banyak mendapat tempahan telekung sebulan sebelum Ramadan sehinggalah kepada hampir Hari Raya Haji.

“Jualan kami memang menurun sebanyak 20 peratus ketika bulan pertama PKP kerana pada masa itu kami panik dan masih lagi dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, terutamanya dari segi mengagihkan semula tenaga kerja, pemindahan stok untuk pembungkusan serta tempoh penghantaran terjejas.

“Mujur saya pernah mempelajari selok-belok perniagaan daripada mereka yang arif sebelum ini dan saya mengamalkan ilmu itu untuk kekal fokus kepada apa yang perlu dilakukan, termasuk menukarkan kepada perniagaan dalam talian100 peratus berbanding 80 peratus sebelum PKP,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menggerakkan kira-kira 1,800 agen di seluruh negara, termasuk Brunei, Singapura dan Filipina, untuk meningkatkan kadar jualan menerusi media sosial dan menjalin hubungan baik dengan pelanggan ketika PKP.

“Jika sebelum ini ‘Facebook live’ sekali sehari dan keluar berjumpa dengan pelanggan namun ketika PKP, kami meningkatkan bilangan ‘Facebook live’ itu sebanyak lima hingga enam kali.

“Oleh kerana kebanyakan promosi telekung kami sebelum ini lebih kepada persediaan untuk jemaah umrah dan haji, namun sejak PKP promosi itu tidak dapat dilaksanakan maka kami gantikan dengan promosi berkonsepkan hadiah kepada yang tersayang.

“Kami turut menawarkan pembungkusan yang cantik untuk menarik perhatian pelanggan menerusi ‘Facebook Live’ dan membuat peraduan serta kempen eksklusif untuk meningkatkan jualan kami ketika PKP,” katanya yang menambah hasil jualan meningkat sebanyak 20 peratus pada bulan Januari hingga Jun lalu.

Faridah Hanom berkata komunikasi sesama agen, dropship dan kakitangan pengurusan menerusi media sosial sangat penting kerana meskipun tidak dapat bersemuka untuk merancang hala tuju, namun pengurusan stok dan perkhidmatan pelanggan ketika PKP dapat dilakukan.

“Dalam perniagaan fesyen secara dalam talian, kerjasama dengan semua pihak amat penting dan saling bantu-membantu dapat menjalinkan hubungan sesama industri kerana jika dalam keadaan kesusahan, senang untuk meminta dan menghulurkan bantuan antara satu sama lain.

“Selain itu, saya sentiasa memastikan ada pelan sandaran jika berlaku sesuatu krisis. Contoh, jika ada pembekal tidak dapat menghantar kain dari Indonesia dan Korea dalam masa yang ditetapkan, kami akan berusaha untuk membeli kain dahulu daripada kedai tempatan lain untuk menjahit telekung kami,” katanya.

Faridah Hanom berkata walaupun kebanyakan usaha terpaksa menghadapi pelbagai dugaan ketika PKP, namun ia tidak harus dijadikan sebagai halangan sebaliknya harus dilihat sebagai ‘hikmah’ dan ujian dalam perjalanan hidup.

“Setiap perniagaan mesti ada pasang dan surutnya, jika terpaksa ditutup akibat PKP, tidak mengapa, bangkit semula dan mulakan kembali dengan modal kecil menerusi platform ‘e-commerce’.

“Belajar melalui pengalaman dan tidak berputus asa, jika mereka baru mahu berjinak-jinak dalam keusahawanan, jadilah dropship dulu kumpul pengalaman barulah mengembangkan perniagaan mereka secara berperingkat,” katanya.

KEKALKAN TENAGA KERJA KETIKA PKP

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK), Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, pihaknya turut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melonjakkan ekonomi digital namun masih kekal positif dalam perniagaan mereka.

Beliau berkata, walaupun ketika PKP banyak sektor ekonomi terjejas, namun pihaknya mampu menjana keuntungan sehingga 20 peratus lebih tinggi daripada sebelum PKP pada tahun lepas.

“Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 37 cawangan butik SK terpaksa ditutup di seluruh negara, namun kami berusaha menggerakkan kesemua kakitangan cawangan untuk dijadikan dropship sepanjang PKP untuk melariskan jualan.

“Bersyukurlah kami dapat melalui kesukaran ini dan meneruskan operasi dengan menukar kedai kami kepada e-dagang sepenuhnya. Kami memperhebatkan usaha untuk berhubung dengan pelanggan kami dan menyediakan penghantaran pesanan pada hari yang sama, dan sambutannya amat menggalakkan, ” katanya sambil menambah, produk utama SK adalah telekung sementara produk sampingan terdiri daripada kategori pakaian, sejadah, aksesori dan tudung.

Menurut Mohammad Muhaimin, selain menggerakkan staf sebagai dropship, pihaknya juga turut mengadakan kursus penggunaan media sosial dan platform e-dagang kepada lebih 300 orang dropship sedia ada di setiap negeri bagi menggerakkan penjualan produk, terutamanya ketika musim perayaan.

“Kemahiran seperti Facebook Marketing, Headquarters branding marketing campaign, Whatsapps business dan sebagainya, kita hantar yang pakar untuk mengajar kemahiran asas dan kemahiran copywriting untuk menarik perhatian pelanggan.

“Kami mengadakannya secara berterusan sehinggalah pada PKP 3.0 baru-baru ini, kebanyakan kakitangan butik cawangan bergerak sebagai pasukan dalam talian untuk mencapai sasaran jualan mereka.

“SK bersyukur kerana kemudahan moratorium pinjaman dan pelbagai bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu kebanyakan usahawan PKS untuk terus bertahan ketika pandemik, ” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, walaupun kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pinjaman kredit kepada golongan terjejas, namun sebagai usahawan PKS, mereka tidak seharusnya bergantung 100 peratus kepada kerajaan.

Usahawan PKS, kata beliau, perlu mempunyai pelan jangka panjang dan pelan sandaran bagi mengatasi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.

“Sentiasa berusaha untuk belajar perkara baharu kerana sudah pasti bukan semua krisis yang kita hadapi adalah sama, contohnya seperti pandemik COVID-19, ia merupakan perkara baharu dan semua orang tidak sangka akan penutupan secara besar-besaran akibat PKP.

“Sentiasa berani melakukan perubahan dengan kreatif dan berinovasi kerana semua orang sedang bersaing antara satu sama lain untuk meneruskan perniagaan mereka ketika pandemik, jika kedai fizikal tutup, lakukan secara digital,” katanya.

BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN

Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noorul Azwin Md Nasir berkata usahawan harus bijak mengambil peluang mengatasi cabaran tanggungan kewangan lebih baik akibat PKP.

Menurut beliau, usahawan yang terkesan akibat pandemik boleh meneliti pelbagai bantuan kerajaan seperti Sistem Insurans Pekerjaan, Program Pengekalan Pekerjaan dan Subsidi Upah bagi mengelakkan pemberhentian pekerja mereka secara besar-besaran seterusnya menyebabkan hilang punca pendapatan.

“Banyak perniagaan menambah stok pada awal tahun sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan ia akan memperlihatkan peningkatan jumlah hutang pembekal yang rata-rata memberi tempoh hutang sekitar satu hingga tiga bulan.

“Mungkin lebih menguntungkan usahawan berhutang dengan pembekal berbanding dengan bank atau agensi kewangan dalam mendapatkan modal pembelian stok. Ini kerana dari perspektif kadar faedah, tiada faedah dikenakan ke atas kelewatan bayaran. Pembekal juga cenderung memberikan diskaun sekiranya bayaran dilangsaikan lebih awal,” katanya.

Beliau menambah, meskipun sesetengah usahawan mendapat kelulusan bantuan serta penangguhan bayaran moratorium, mereka masih perlu mencari jalan menampung kekurangan pendapatan ataupun kerugian dengan kadar segera.

“Sebahagiannya mula berkecimpung dalam bidang atau industri dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Ia bukanlah untuk tempoh panjang, tetapi untuk pulih lebih cepat berbanding pesaing,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )