Industri digesa mulakan inisiatif ekonomi edaran oleh MPC

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Industri digesa untuk memulakan inisiatif ekonomi edaran (CE) seperti yang dimulakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memudahkan peralihan industri ke arah persekitaran perniagaan yang lebih mampan.

Dalam kenyataan, Timbalan Ketua Pengarah MPC Zahid Ismail berkata selain meningkatkan dan memastikan sumber produktiviti, inisiatif itu akan turut menggalakkan penggiat industri untuk memikirkan semula cara baharu mengenai pengeluaran dan penggunaan dalam persekitaran yang lebih sihat.

“Pada masa ini, MPC menjalankan kajian mengenai potensi penerapan konsep CE dalam industri akuakultur dan ternakan, projek kerjasama dengan Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk membangunkan rangka kerja mengenai pelaksanaan CE dalam industri ini.

“Rangka kerja itu dijangka membantu penggiat industri memastikan sumber digunakan dalam tempoh yang lama, mengurangkan sisa serta memulihkan dan menjana semula produk dan bahan. Penglibatan dengan penggiat industri dijalankan melalui beberapa cara seperti lawatan syarikat, mesyuarat dalam talian dan bengkel pengesahan,” katanya.

Beliau juga berkata inisiatif itu telah dijalankan sejak awal Januari 2020 memberi tumpuan kepada sektor keutamaan seperti yang dinyatakan dalam Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia, iaitu pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.

Menggalakkan perusahaan edaran merupakan langkah ke hadapan apabila proses pengeluaran menggunakan kurang bahan berikutan reka bentuk yang inovatif atau kemajuan teknologi dan peningkatan kadar kitar semula dan mengurangkan sisa.

“Berdasarkan konsep CE, bahan dan produk diedarkan semula, nilainya digunakan sepenuhnya dan pembaziran dapat dikurangkan.

“Ia bermula pada tahap reka bentuk apabila produk dirancang untuk digunakan semula, dibaiki dan dikitar semula berbanding dibuang apabila tidak berfungsi,” kata Zahid bersempena bengkel Libat Urus Pihak Berkepentingan untuk Inisiatif Ekonomi Edaran dalam Pengeluaran Ternakan yang diadakan baru-baru ini.

Bengkel itu menyediakan platform kepada pihak berkepentingan untuk mendapat pengalaman dalam sistem kitar semula dan mempelajari mengenai ekonomi edaran di Taiwan dan amalan terbaik syarikat yang memenangi anugerah ekonomi edaran di Taiwan.

Mengenai aktiviti akan datang, katanya sesi maya mengenai CE Ke Arah Pembangunan Mampan, kerjasama dengan Organisasi Produktiviti Asia, dijadualkan pada awal Disember 2020.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )