Hasil ladang Duriotourism Kuala Kangsar dijual secara dalam talian

KUALA KANGSAR,. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Perak menyediakan pakej jualan buah-buahan secara dalam talian hasil dari ladang Duriotourism miliknya di sini, bermula Isnin depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata usaha itu dibuat kerana orang ramai tidak dibenarkan berkunjung ke Duriotourism Kuala Kangsar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata pihaknya menerima nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara supaya tidak membuka Duriotourism kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai jenis buah-buahan di ladang itu.

“Sebagai alternatif, kita mengadakan jualan secara dalam talian dan pembeli boleh memilih untuk mengambil tempahan sama ada di Duriotourism Kuala Kangsar atau di MARDI, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Duriotourism Kuala Kangsar pada Rabu.

Turut hadir Pengarah MARDI Perak Daud Endam.

Daud juga berkata buah-buahan yang ditawarkan terdiri daripada pelbagai variasi durian klon serta manggis dan harga pakej bermula serendah RM30 sehingga RM200 bergantung kepada berat.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat tempahan menerusi www.agrobazaar.com.my atau memuat turun aplikasi ‘Agrobazaar Online’ di Play Store atau App Store, sehari sebelum proses penghantaran.

“Kita menyasarkan 10,000 biji durian dijual menerusi pakej jualan produk berkenaan,” katanya.

Duriotourism Kuala Kangsar merupakan pusat agropelancongan berasaskan durian pertama di Malaysia yang dibuka pada Disember 2017.

Pengunjung boleh melawat kawasan ladang dengan menaiki trem sambil mendengar penerangan pekerja ladang berkaitan penanaman durian selain menikmati raja buah itu dengan bayaran tertentu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )