GSMA yakin kemajuan 5G di Malaysia walaupun terjejas akibat pandemik

KUALA LUMPUR,. GSMA yang mewakili kepentingan operator mudah alih di seluruh dunia yakin pelaksanaan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) di Malaysia menunjukkan kemajuan walaupun sedikit terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua GSMA bagi Asia Pasifik Julian Gorman berkata sokongan Malaysia kepada 5G antara lain telah menghimpunkan bersama kerajaan, badan dan operator kawal selia yang meletakkan negara pada kedudukan yang terbaik untuk mencapai matlamat itu.

Beliau berkata proses ke arah itu dijangka tertangguh dalam jangka pendek atau mengalami impak daripada COVID-19, namun komitmen yang ditunjukkan oleh pihak yang terlibat akan memastikan pelancaran 5G yang berskala dan berjaya.

“Di Malaysia, kerajaan dan operator telah melabur untuk menyediakan laluan dan penskalaan bagi ekosistem itu.

“Kerjasama di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pemain industri adalah sesuatu yang ingin dilihat dan dipertimbangkan oleh negara-negara lain,” katanya dalam taklimat media secara dalam talian hari ini.

Mengulas cadangan SKMM untuk memperuntukkan spektrum 5G kepada satu konsortium, Gorman berkata beliau ingin tahu langkah-langkah selanjutnya di Malaysia dan menurutnya adalah mencabar untuk menjadikan enam operator bersetuju bagi satu konsortium itu, selain risiko operasi.

Menurut laporan ekonomi mudah alih GSMA bagi 2020, teknologi 5G adalah semakin pesat berikutan ia kini secara langsung di 24 pasaran di mana banyak telefon pintar 5G telah dilancarkan, manakala kesedaran mengenai 5G dan hasrat untuk menaik taraf kemudahan itu semakin meningkat dalam kalangan pengguna.

Menjelang 2025, 5G akan menyumbang sebanyak 20 peratus kepada rangkaian global dengan penggunaan yang sangat memberangsangkan di negara maju di Asia, Amerika Utara dan Eropah.

Bagi menyokong anjakan generasi ini dan memacu penglibatan pengguna, operator dijangka melabur kira-kira US$1.1 trilion (US$1=RM4.37) di seluruh dunia untuk tempoh 2020 dan 2025 bagi perbelanjaan modal mudah alih dengan kira-kira 80 peratus adalah bagi rangkaian 5G.

Sementara itu, Gorman berkata pandemik COVID-19 telah menekankan mengenai kepentingan kesalinghubungan digital secara ketara, dan kerajaan berpendapat, ia akan memudahkan proses mendidik masyarakat mengenai kecemasan dan kaedah menguruskannya.

“Dalam hal ini, Malaysia berada dalam keadaan selesa berikutan negara ini mempunyai kadar penembusan telefon pintar dan jalur lebar yang tinggi,” katanya sambil memaklumkan interaksi dalam talian dan mendapat akses kepada maklumat terkini mengenai perkara yang sedang berlaku adalah penting untuk menangani krisis tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )