Gopeng Berhad usahakan projek nanas MD2 terbesar di utara tanah air

GOPENG,. Projek tanaman nanas premium jenis MD2 oleh Gopeng Berhad, sebuah syarikat bumiputera melibatkan kawasan seluas 404.7 hektar di sini dengan kos keseluruhan RM12 juta dijangka siap pada tahun depan.

Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Gopine Bhd, Datuk Mohd Salleh Hashim berkata setakat ini pihaknya telah berjaya menanam nanas jenis MD2 di kawasan seluas 101 hektar selepas ia dimulakan pada 2019 dan apabila siap kelak, projek itu adalah yang terbesar di utara tanah air.

“Sehingga ke hari ini Gopeng Berhad telah berjaya melakukan inovasi daripada segi agronomi penanaman yang mana satu prosedur operasi standard (SOP) bagi penanaman nanas MD2 secara komersil perladangan telah dibangunkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan pelancarkan pusat pemprosesan dan pengumpulan nanas Gopine oleh Gopine Berhad oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Mohd Salleh berkata pihak syarikat telah membangunkan beberapa program utama bagi tujuan pembangunan perladangan nanas MD2 khusus untuk membantu golongan B40 menambah pendapatan mereka dikenali sebagai ‘Gopine Associate’.

Katanya antara program itu termasuk agrokomersil iaitu kerjasama membangunkan ladang MD2 secara komersil seluas 40.5 hektar dengan SOP, input pertanian dan bekalan benih tanaman dibekalkan oleh Gopeng Berhad yang juga akan memantau rapi bagi memastikan kejayaan peserta.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang memuji kejayaan Gopeng Berhad mengusahakan perladangan nanas MD2 berharap segala usaha boleh diaplikasikan untuk tananam-tanaman lain khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan bagi mengurangkan import seterusnya menjamin keselamatan makanan negara.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata pihaknya telah mengarahkan semua ketua syarikat berkaitan kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah milikan mereka yang terbiar dengan aktiviti pertanian menggunakan teknologi moden.

“Contohnya adalah pertanian bertingkat (vertical farming) dan penanaman dalam kawasan tertutup (indoor farming). Walaupun tanah kita kecil, tetapi kita masih boleh mendapatkan hasil yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.

“Dengan teknologi moden, hari ini kita boleh menanam sayur di dalam bangunan dan ia boleh mencapai ketinggian sehingga 14 tingkat. Bayangkan jika ia dilaksanakan di bangunan-bangunan terbiar di bandaraya Ipoh? Kita pasti akan dapat melahirkan lebih ramai petani moden yang berjaya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )