Golongan muda dalam bidang pertanian didapati minat keusahawanan

Golongan muda dalam bidang pertanian didapati minat keusahawanan

PUTRAJAYA, 13 Mei — Kajian mendapati golongan muda yang terlibat dalam bidang pertanian di Malaysia lebih berminat ke arah keusahawanan, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Mereka bukan sahaja menjadi peladang, penternak dan nelayan, tetapi mereka turut memasarkan dan menjual produk-produk pertanian mereka sendiri,” katanya memetik kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam KRI Discussion Paper yang diterbitkan pada 27 April 2020.

Menyedari perkara tersebut, Kiandee berkata kementerian melalui Program Agropreneur Muda (PAM) menyediakan bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai sehingga RM20,000, dan Pembiayaan Khas Agropreneur Muda iaitu pinjaman sehingga RM200,000 melalui Agrobank dan TEKUN Nasional dengan kadar faedah dua peratus sahaja.

“Inisiatif ini untuk membantu golongan muda sama ada untuk memulakan projek pertanian baharu atau untuk mengembangkan projek pertanian sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Geran Agropreneur Muda (GAM) fasa pertama tahun 2020 di bawah PAM, di sini hari ini.

Menurut kajian KRI itu, hanya 15 peratus daripada ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berumur di bawah 40 tahun, manakala 45 peratus berumur 60 tahun ke atas.

Mengenai GAM fasa pertama tahun ini, Kiandee berkata seramai 238 pemohon yang terlibat dalam rantaian nilai iaitu bidang tanaman, ternakan, perikanan dan industri makanan, telah diluluskan dengan nilai geran sebanyak RM4.01 juta.

Pada tahun ini, katanya kementerian diperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran untuk membangunkan seramai 1,200 orang agropreneur muda.

“GAM tahun ini membabitkan tiga fasa di mana fasa kedua telah dibuka untuk permohonan dari 1 Mei hingga 31 Mei manakala permohonan untuk fasa ketiga akan dibuka pada 1 Sept hingga 30 Sept ini,” katanya.

Kiandee berkata seramai 5,767 orang telah diberikan bantuan geran GAM sejak 2016 hingga 2019 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM100.3 juta.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )