Gerai pameran 99 jenis ulam tarikan di Pasar Tani Padang Hiliran

KUALA TERENGGANU,. Jelai tikus, pucuk sungkai, pucuk ginseng dan bunga kunyit adalah antara 99 jenis ulam yang dipamerkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu untuk menggalakkan pemakanan seimbang dan berkhasiat, menjadi tarikan di Pasar Tani Padang Hiliran di sini.

Tinjauan Bernama mendapati gerai pameran ulam-ulaman itu sentiasa dikunjungi orang ramai dan kebanyakan mereka mengakui tidak pernah melihat atau mengetahui jenis ulam yang dipamerkan itu kerana sukar didapati ketika ini.

Seorang pengunjung Nur Syafika Ruslan, 24, berkata dia tertarik untuk mencuba memakan ulam setelah mendengar penjelasan daripada petugas FAMA mengenai khasiat dan kebaikan yang terdapat dalam tumbuhan itu untuk kesihatan tubuh badan.

“Biasanya saya tahu pucuk pegaga, kacang botor dan daun selom…tak sangka sebenarnya banyak lagi ulam-ulaman yang telah diamalkan oleh nenek moyang dahulu, insya-Allah lepas ini saya pun akan konsisten memakan ulam kerana percaya ia baik untuk kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Che Rohaya Abd Wahab, 56, berkata dia memang mengamalkan memakan ulam sejak berusia belasan tahun dan khasiatnya dapat dirasai kini kerana tidak mempunyai sebarang penyakit di ambang ‘usia warga emas’.

“Alhamdulillah, saya masih mampu berlumba lari dengan enam cucu, masih aktif menjalankan perniagaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat melalui persatuan.

“Selain bersenam secara konsisten, saya sangat yakin amalan memakan ulam lebih 40 tahun banyak membantu kesihatan saya untuk kekal berada pada tahap terbaik dan sangat menggalakkan generasi muda agar mengamalkannya demi manfaat untuk tubuh badan sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga sayur dan ulam di pasar tani itu, Rohani Abd Rahman, 48, menyambut baik kempen promosi memakan ulam-ulaman yang dilakukan oleh FAMA kerana ia membantu peniaga sepertinya meningkatkan jualan.

“Ramai juga pembeli yang datang ke gerai bertanyakan beberapa jenis ulam setelah mendengar penjelasan daripada kakitangan FAMA…ada antara ulam ini memang saya jual harian dan ada yang saya terpaksa cari dulu daripada pembekal.

“Ada pelanggan yang sanggup datang semata-mata mahu membeli ulam tertentu seperti bunga kunyit dan pucuk sungkai kerana tidak semua tempat ada menjualnya…kebanyakannya pelanggan tetap, namun hasil promosi FAMA Terengganu ini, jumlah pelanggan yang datang bertanyakan ulam semakin ramai,” katanya.

Turut dipromosikan kepada pengunjung ialah buku ‘Ulam-ulaman Khazanah Negara dan 1001 Khasiat’ yang menghimpunkan pelbagai maklumat mengenai ulam-ulaman tempatan yang dilancarkan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tahun lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )