Gaya hidup kewangan pasca COVID-19

Oleh Prof Madya Dr Nurul Aini Muhamed

Corak kehidupan masyarakat pasca COVID-19 tidak akan sama berbanding sebelum ini. Amalan harian seperti jarak sosial dan penjagaan kesihatan yang dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti diteruskan bagi menurunkan risiko penyebaran pandemik COVID-19 kepada masyarakat umum.

Sebagaimana dilaporkan dalam media massa, terdapat enam kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenai penamatan PKP dibuat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. Ini termasuklah kawalan sempadan, kawalan pergerakan, peningkatan keupayaan sistem penjagaan kesihatan, perlindungan bagi kumpulan berisiko tinggi, normalisasi kehidupan yang baru (dari segi kesihatan serta perjarakan sosial) dan kerjasama dengan komuniti dalam pencegahan secara menyeluruh.

Tidak dapat dinafikan COVID-19 memberi kepada impak ekonomi yang bukan sedikit kepada entiti perniagaan dan kehidupan individu dalam masyarakat. Industri berkaitan pertanian dan perkhidmatan seperti perlancongan antara industri yang terjejas teruk sepanjang tempoh kawalan. Sebagai contoh, sektor berkaitan industri perlancongan seperti penerbangan, perhotelan, pengangkutan dengan sendirinya terjejas berikutan peraturan ini. Berdasarkan kaji selidik peringkat pertama Jabatan Perangkaan, sebanyak 46.6 peratus dari 168,182 responden berkemungkinan kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik berikutan pelaksanaan PKP.

Forum Ekonomi Dunia menjangka ada entiti perniagaan global yang terpaksa ditutup dan ada mungkin melakukan penstrukturan serta adaptasi melalui penggunaan sistem automasi, internet pelbagai benda (IoT) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa tanpa melibatkan pertemuan individu secara bersemuka.

Dalam tempoh ini, semua pihak akan terkesan akibat situasi penularan wabak dan juga langkah PKP, sama ada pemilik perniagaan, pekerja atau individu yang berkerja sendiri. Namun, langkah kerajaan untuk meneruskan PKP dalam menangani jangkitan ini amat penting dalam mengawal dan membasmi COVID-19.

Ubah suai gaya hidup

Ujian COVID-19.menuntut semua pihak termasuk individu untuk melakukan pengubahsuaian dalam cara hidup termasuklah dalam menguruskan kewangan. Pihak kerajaan mungkin tidak mampu untuk memberikan sokongan kewangan sepenuhnya bagi membolehkan kita hidup dengan mewah sepanjang pandemik ini.

Dari perspektif mikro, semua individu dalam masyarakat samada yang bujang atau berkeluarga, sewajarnya menguruskan wang mereka dengan bijak dan berhemah. Ilmu pengurusan kewangan individu perlu diamalkan seperti menyediakan belanjawan rumah mengikut tahap keperluan. Beli perkara yang perlu sahaja mengikut kepentingannya.

Wang yang ada hasil dari penangguhan pembayaran pembiayaan bank melalui pakej moratorium dan juga pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu digunakan dengan cara terbaik bagi tujuan perbelanjaan perkara yang perlu, bukannya untuk bermewah.

Lebihan wang setelah melangsaikan perbelanjaan asas ini perlu disimpan atau dilaburkan bagi tujuan mendapatkan pulangan yang bersesuaian bagi bekalan masa hadapan.

Perubahan corak perniagaan mikro

Bagi perniagaan secara mikro, cabaran COVID-19.ini juga memaksa pemilik perniagaan menjalankan perniagaan secara berdisiplin dan menjalankan operasi mereka dengan cara lebih kreatif. Sistem urus niaga dalam talian yang melibatkan pembayaran dalam talian perbankan atau aplikasi e-dompet serta penawaran servis penghantaran barangan dari rumah ke rumah akan membuka banyak peluang kepada peniaga mikro dan juga mereka yang kehilangan pendapatan akibat pandemik ini.

Masa kini, kita dapati perkhidmatan penghantaran barangan harian rumah ke rumah bukan hanya ditawarkan oleh peniagaan besar seperti Tesco sahaja. Malah, khidmat penghantaran barangan yang ditawarkan oleh pengusaha kecil tempatan dengan tempahan melalui Facebook dan WhatsApp turut berkembang di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung. Dari pandangan yang berbeza, PKP sebenarnya akan mempercepatkan tren transaksi jual beli tanpa tunai dalam masyarakat hari ini.

Setiap cabaran baru memerlukan kita untuk berfikir, merancang dan meningkatkan keupayaan untuk membuat inovasi dan adaptasi. Manusia dianugerahkan akal serta tenaga untuk menghadapi hari-hari mendatang.

“ Sesungguhnya Allah (SWT) tidak mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada dalam diri mereka” (Surah Ar-Ra’d: 11).

BERNAMA

Profesor Madya Dr Nurul Aini Muhamed merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )