FAMA kecualikan sewa tapak pasar tani

FAMA kecualikan sewa tapak pasar tani

JASIN,. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memberikan pelepasan pembayaran sewa tapak kepada usahawan pasar tani di seluruh negara susulan operasinya tidak dapat dijalankan semasa Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata menerusi inisiatif itu ia akan memberi manfaat kepada seramai 13,181 usahawan tani di 312 lokasi di Malaysia bagi mengurangkan beban mereka dalam tempoh mencabar ketika ini.

“Bagaimanapun beberapa negeri yang berada di kategori Fasa Dua PPN, mereka akan dibenarkan kembali menjalankan perniagaan di pasar tani dengan kadar sewa seperti biasa.

“Namun sewa tapak yang dikenakan sebelum ini juga adalah sangat rendah dan berpatutan iaitu antara RM5 hingga RM7 di setiap lokasi bagi membayar kos permit dan penyelenggaraan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada pemberita di Rim di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah menyampaikan bantuan MAFI Prihatin di sekitar daerah Jasin.

Zainal berkata daripada keseluruhan 312 tapak pasar tani di seluruh negara hanya 12 pasar tani yang dibenarkan beroperasi selepas negeri-negeri tertentu beralih ke Fasa Dua PPN.

Sementara itu katanya bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan serta pemasaran makanan, FAMA juga telah mewujudkan 55 Pasar Segar Terkawal (PST) yang melibatkan 2,241 usahawan tani di seluruh negara.

Katanya kewujudan PST telah memberi ruang kepada usahawan tani untuk terus menjana pendapatan dengan sebanyak RM57.95 juta nilai jualan direkodkan sepanjang tempoh 1 Jun hingga 15 Julai lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )