Exim Bank puji langkah kerajaan perbaiki akses PKS kepada pembiayaan

Exim Bank puji langkah kerajaan perbaiki akses PKS kepada pembiayaan

KUALA LUMPUR,. Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) menyokong pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2021, terutama mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan.

Antara inisiatif yang digariskan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam ucapan belanjawannya ialah pengenalan Platform Kewangan Rantaian Bekalan Nasional yang dipanggil ‘Jana Niaga’, yang bakal membantu kedudukan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pembekalan kepada kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Platform yang akan diterajui oleh EXIM Bank itu, dijanka akan meringankan beban PKS yang terbelenggu dengan isu aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lebih panjang, selain memudahkan mereka mendapatkan pinjaman.

Pengerusi EXIM Bank Datuk Dr Feizal Mustapha berkata bank itu menghargai kepercayaan kerajaan kepadanya dalam menerajui akses kepada inisiatif pembiayaan berkenaan, melalui platform Jana Niaga, dalam memastikan kesejahteraan PKS di negara ini.

”Bantuan yang disasarkan ini pasti akan menyokong mereka untuk terus beroperasi tanpa sebarang gangguan yang menghalang perkhidmatan mereka kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif Jana Niaga bernilai RM300 juta itu akan menyaksikan EXIM Bank memacu platform tersebut dengan penglibatan beberapa institusi kewangan.

”Buat permulaan, Jana Niaga akan dilaksanakan bersama dengan Petronas (Petroliam Nasional Bhd) dan Telekom Malaysia Bhd.

”Ia kemudiannya akan diperluaskan kepada GLC lain, kementerian dan agensi kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Rangka kerja untuk platform tersebut, bersama-sama dengan butiran operasi, akan didedahkan dalam masa terdekat, tambahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )