eToro saran rakyat Malaysia buat kerja sampingan pada era digital

KUALA LUMPUR,. Rakyat Malaysia menghabiskan kebanyakan masa mereka secara dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan Internet adalah antara peluang terbaik bagi mengembangkan potensi kemahiran serta menjadikannya sebagai sumber pendapatan alternatif.

Platform perdagangan sosial eToro menggariskan beberapa cadangan bagaimana rakyat Malaysia boleh memperoleh pendapatan sampingan di tengah-tengah pandemik global ini.

Antara saranan itu ialah menjual cenderamata atau barangan yang tidak digunakan sejak enam bulan lepas dan membina rangkaian di media sosial sebagai kaedah mudah mendapatkan wang dengan pantas.

“Platform seperti Carousell dan Mudah.my mungkin boleh digunakan untuk menjual barangan terpakai ini dan Upwork and Freelancer.com, selaku rakan kongsi antarabangsa Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh menjadi platform membantu rakyat mendapatkan pembeli berpotensi,” menurut eToro dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau menyarankan rakyat Malaysia mencuba pelaburan saham sebagai antara kaedah menjana pendapatan dan menyertai platform pelaburan dalam talian yang memberi panduan dan ciri pintar bagi membolehkan mereka melabur.

“Ia mungkin sukar untuk dipertimbangkan buat masa ini khususnya apabila pasaran saham di seluruh dunia lebih rendah, bagaimanapun, mulakan dengan kecil. Anda hanya perlu melabur dalam jumlah kecil.

“Melaburlah dalam apa yang anda tahu dan minati dan bagi mereka yang kesuntukan masa atau ilmu untuk melakukannya sendiri, mereka boleh menyalin strategi pelaburan orang lain di platform seperti eToro,” katanya.

eToro turut menyarankan syarikat-syarikat agar memikirkan semula strategi mereka dan menjadikan perniagaan luar talian kepada dalam talian untuk mengekalkan perniagaan itu.

“Menerusi Internet, anda boleh mencapai apa yang diinginkan dalam hidup ini kerana anda mempunyai peluang itu tanpa perlu mengetepikan hal keselamatan dan keselesaan di rumah sendiri.

Dengan merealisasikan perkara ini, ia akan mewujudkan perubahan kepada mereka yang terjejas akibat keadaan semasa atau menjadi lebih bersemangat dan diharapkan kewangan mereka akan bertambah baik, kata eToro.

eToro, syarikat pembrokeran pelbagai aset yang memberi tumpuan menyediakan perkhidmatan dagangan replika dan pembiayaan mempunyai pejabat berdaftar di Cyprus, Israel, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )