Daripada hobi, Nabihah keluarkan produk daging arnab sejuk beku

MELAKA,. Produk makanan sejuk beku berasaskan daging arnab dilihat agak jarang dijumpai di pasaran, namun ia mula mendapat tempat bagi orang ramai yang gemar mencuba sesuatu baharu.

Usahawan tani, Nabihah Abidin, 30, yang menjadikan hobi memelihara arnab sebagai punca rezeki dengan mengeluarkan pelbagai produk hiliran berasaskan daging haiwan berkenaan pada 2018, mengakui permintaan produk itu kian meningkat saban hari.

Menurutnya, idea untuk mengusahakan produk berkenaan timbul selepas arnab yang dibela secara suka-suka sejak 2016 itu semakin membiak dari sehari ke sehari, menyebabkannya mahu mencuba sesuatu yang baharu di samping menjana pendapatan.

“Pada permulaan, saya memelihara arnab melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM50,000 di Kampung Lubuk Kasau, Bemban yang kini ditutup sementara bagi proses naik taraf. Jadi, buat masa ini, ternakan arnab diusahakan di ladang seluas 0.4 hektar di Kampung Cempedak, Kuang, Selangor.

“Lebih 300 ekor arnab induk yang diternak iaitu arnab pedaging baka New Zealand White dan Californian serta arnab hias baka Minirex dan Netherland Dwarf, seekor arnab boleh disembelih selepas tempoh 35 hari setelah diceraikan susu, sehingga mencapai umur matang 100 hari,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Nabihah berkata setiap bulan kira-kira 200 kilogram (kg) daging arnab akan diproses bersama kakitangan di kilangnya di Melaka Halal Hub di sini, bagi menghasilkan pelbagai jenis produk sejuk beku berasaskan arnab seperti daging perap, bebola daging, sate, serunding dan sebagainya.

“Kalau kita lihat daging arnab ini agak janggal bagi sesetengah orang namun jika yang sudah biasa memakannya, mereka dapat bezakan rasa antara arnab dengan ayam kerana dagingnya lebih kenyal, namun bagi yang tidak pernah mencubanya tidak dapat bezakan.

“Daging arnab mempunyai sumber protein yang tinggi dan kurang lemak selain dipercayai baik untuk ibu hamil dan bagus untuk merawat penyakit asma,” katanya menambah selain menjual produknya sendiri, beliau turut menyertai program jualan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain dijual dalam talian.

Nabihah berkata semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, permintaan meningkat kerana ada yang suka mencuba makanan yang pelik ketika berada di rumah sepanjang hari dan sehingga kini, beliau bersyukur kerana produk sejuk bekunya semakin mendapat perhatian masyarakat.

Wanita berasal dari Kuala Lumpur itu berkata beliau turut mendapat bantuan peralatan pemprosesan makanan ternakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka selain bantuan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan turut menerima Geran Khas Prihatin (GKP).

Usaha kerasnya itu boleh dibanggakan apabila diiktiraf sebagai antara 10 individu Ikon Agro Selangor dan Nabihah berkata pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk berusaha lebih keras dan meluaskan lagi pasaran dan pengeluaran produknya pada masa hadapan.

— BERNAMA

Oleh Nursuraya Zulkifli

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )