Dana pembiayaan PKS PENJANA utamakan yang tidak dapat pinjaman bank – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Kerajaan meluluskan pinjaman bernilai RM1.22 bilion kepada 6,404 permohonan setakat 22 Jan lepas daripada peruntukan RM2 bilion bagi Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan mengutamakan yang belum pernah mendapat pinjaman bank, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam pada itu, skim khas PKS iaitu Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) untuk PKS Mikro dengan dana RM100 juta telah mencapai objektifnya minggu lepas.

“Ia memberi manfaat kepada 14,946 PKS Mikro. Pada masa sama, masih terdapat inisiatif pembiayaan yang tersedia di bawah matlamat PENJANA untuk melonjakkan perniagaan, seperti Pembiayaan PKS PENJANA dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-39 hari ini.

Beliau berkata bagi pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, setakat 22 Jan, terdapat 573 permohonan dan daripada jumlah itu 277 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM55.4 juta berbanding dengan 271 permohonan dengan nilai RM54.9 juta pada minggu sebelumnya.

Mengenai pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional, setakat 22 Jan, sebanyak RM340.0 juta telah disalurkan untuk dimanfaatkan oleh 10,037 PKS mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, katanya.

Tengku Zafrul berkata selain itu, setakat tempoh yang sama, sebanyak 494 PKS menerima dana Bumiputera Relief Financing (BRF) oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), dengan melibatkan sejumlah RM135.5 juta berbanding dengan 437 PKS membabitkan dana RM118.8 juta pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata setakat 22 Jan, sebanyak RM74.5 juta juga telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank untuk dimanfaatkan oleh 7,012 PKS mikro pertanian dengan tiada perbezaan berbanding dengan minggu sebelumnya, untuk merealisasikan matlamat ketiga PENJANA iaitu merangsangkan ekonomi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )