Cradle Fund bangunkan platform MYStartup, tawarkan khidmat inklusif kepada pemula niaga

Cradle Fund bangunkan platform MYStartup, tawarkan khidmat inklusif kepada pemula niaga

KUALA LUMPUR,. Cradle Fund Sdn Bhd sedang membangunkan platform MYStartup yang bertujuan untuk menyelaras serta menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh dan inklusif kepada syarikat pemula niaga.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata sejumlah RM20 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund menerusi Program Strategi Tindakan Startup bagi menyokong pembangunan syarikat pemula niaga di setiap peringkat pertumbuhan dalam Bajet 2022.

“MOSTI menyasarkan untuk memudah cara dan membimbing lima syarikat untuk mencapai taraf unicorn menjelang 2025,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Ia bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai kriteria yang digunakan untuk mengenal pasti syarikat yang mampu menjadi syarikat unicorn serta insentif yang akan disediakan untuk memastikan mereka terus beroperasi di Malaysia.

Menurut MOSTI, kementerian itu sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Ekosistem Pemula Niaga Malaysia (SUPER) untuk tempoh 2021 hingga 2030 yang akan menghubungkan dasar-dasar sedia ada untuk menyokong ekosistem pemula niaga secara holistik agar terus berkembang dengan ekosistem yang mampan.

Menurut kementerian, peruntukan pembiayaan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta juga telah diberikan kepada MOSTI di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Melalui peruntukan ini, MOSTI akan memastikan 50 peratus daripada dana penyelidikan ini digunakan bagi pembangunan penyelidikan eksperimental untuk projek yang berpotensi dikomersialkan,” katanya.

MOSTI juga telah menyusun semula kaedah pembiayaan kepada syarikat pemula niaga dari peringkat permulaan sehingga peringkat akhir perkembangan syarikat, katanya.

“Ia bertujuan untuk memastikan syarikat yang berpotensi tinggi mendapat sokongan dan kerjasama daripada sektor swasta, seterusnya dapat menarik lebih ramai pelabur luar supaya terus kekal beroperasi di Malaysia sehingga mencapai status unicorn,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )