COVID-19: Wira tidak didendang bantu pulih ekonomi usahawan wanita mikro

COVID-19: Wira tidak didendang bantu pulih ekonomi usahawan wanita mikro

KUALA LUMPUR,. Mencurahkan tenaga dan ke-ringat, serta berdiri seiri-ng para petugas barisan hadapan bagi menghadapi cabaran getir dalam menangani krisis kesihatan pandemik COVID-19 ketika ini, bukanlah tugas mudah dilaksanakan khususnya bagi kaum hawa.

Sungguhpun petugas kesihatan dan pasukan keselamatan memainkan peranan utama ketika pandemik ini, mereka yang di ‘belakang’ usaha memulihkan kembali ekonomi dan pendapatan komuniti juga, memainkan peranan cukup besar.

Salah seorang daripada mereka, Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) Nuraizah Shamsul Baharin, yang secara sukarela tampil membantu atas dasar memupuk semangat ‘wanita bantu wanita’.

Nuraizah berkata, kesan dari pandemik ini memberi ‘tamparan’ hebat terhadap ekonomi komuniti khususnya usahawan mikro wanita, dan beliau bersama pertubuhan bukan kerajaannya ini, berasa terpanggil untuk membantu.

“Kita akui, ramai dalam kalangan usahawan mikro ini amat terkesan semasa pandemik, ada yang tidak dapat teruskan perniagaan termasuk menutup perniagaan sepenuhnya dan pelbagai kisah lain.

“Dari situ kita fikir apa yang boleh kita lakukan selain bantuan yang diberikan kerajaan, kita juga perlu ambil pendekatan untuk bantu pulihkan ekonomi dan sumber pendapatan golongan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Nuraizah yang juga Pengarah Urusan Madcat World Sdn Bhd sebuah syarikat membangunkan aplikasi mudah alih berkata, terdapat tiga program telah dilaksanakan pihaknya sejak tercetusnya pandemik COVID-19 bagi membantu usahawan mikro wanita.

Ini termasuk program MADCash melalui syarikatnya sendiri, di mana tiga usahawan mikro wanita diberi sumbangan RM1,000 setiap seorang.

“Alhamdulillah melalui program ini mereka yang kita bantu dapat jana semula pendapatan kira-kira RM16,000 ketika lebaran,” katanya.

Melalui WENA, katanya seramai 30 usahawan mikro wanita dibantu dari segi kewangan dan dimasukkan ke dalam akademi untuk tingkatkan kemahiran perniagaan mereka dengan bantuan pembiayaan dari Kedutaan Ameriksa Syarikat.

“Bulan Jun ini, kita akan dapat satu pembiayaan lagi daripada Kedutaan AS, untuk WENA membantu lebih 50 usahawan mikro dan memasukkan mereka ini dalam akademi seperti sebelum ini dan tambah baik kemahiran perniagaan, sekali gus meningkatkan perniagaan mereka ke tahap lebih baik,” katanya.

Nuraizah berkata, melalui Program BangKIT Bank Islam pula, MadCat selaku ‘çhange maker’ menerima pembiayaan antara RM500 hingga RM20,000 untuk membantu kira-kira 100 usahawan mikro, dan ia masih lagi dalam proses pemilihan (penerima).

Sebagai wanita bekerjaya dan ibu kepada seorang cahaya mata, Nuraizah berkata apa yang dilaksanakannya ini adalah berlandaskan semangat untuk memupuk ekosistem ‘wanita bantu wanita’.

“Wanita bukan hidup untuk diri sendiri, sebaliknya mereka hidup untuk anak, suami dan ibu bapa mereka, kerana itu mereka terdidik menjadi wanita hari ini yang kuat yang turut mampu menabur jasa kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Isnin ini, peranan dan sumbangan golongan ini akan disambut di peringkat nasional bertemakan ‘Wanita Waja Negara: Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )