COVID-19: Terengganu salur RM4.38 juta kepada 333 usahawan terjejas

KUALA TERENGGANU,. Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyalurkan sebanyak RM4.38 juta kepada 333 usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata pinjaman yang diberikan adalah antara RM5,000 hingga RM50,000 setiap usahawan bergantung kepada tahap kerugian yang dialami.

“Peruntukan melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu COVID-19 ini adalah pinjaman patuh syariah tanpa riba yang mana bayaran balik adalah dalam tempoh lima tahun.

“Pinjaman khas ini diharap dapat memberi ruang untuk usahawan menyusun semula strategi perniagaan yang telah terjejas agar mampu bertahan dan bangkit semula bagi tempoh pasca-COVID-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

Antara usahawan yang menerima manfaat daripada tabung itu ialah mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan dan asas tani, pelancongan, penjagaan diri dan kosmetik, peruncitan, tekstil dan kraf, kilang dan pembuatan serta teknologi maklumat.

Dalam pada itu, beliau berkata YPU terpaksa membatalkan beberapa program yang melibatkan kempen promosi perniagaan usahawan Terengganu berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

“Namun, masih ada program berskala kecil yang berlangsung baru-baru ini iaitu Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Terengganu yang berlangsung pada 24 Sept hingga 27 Sept lepas. Jualan melibatkan 41 usahawan itu berjaya merekodkan jualan sebanyak RM87,720.20 bagi tempoh empat hari.

“Kita akan terus membantu usahawan mendapatkan ruang promosi di pasar raya memandangkan fokus ketika ini adalah kepada pelancong tempatan yang semakin ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )