COVID-19, perang perdagangan cipta peluang untuk syarikat rantaian pembekalan

COVID-19, perang perdagangan cipta peluang untuk syarikat rantaian pembekalan

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Pandemik COVID-19 dan perang perdagangan telah membuka peluang baharu bagi syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan kritikal seperti mineral, komponen, barangan perkilangan dan penghantaran yang dijamin, menurut Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).

Pengerusi pengasas, Nordin Abdullah memberitahu banyak syarikat dan individu terpaksa berhempas pula bagi memenuhi permintaan.

“Pemerhatian ke atas trend teknologi terkini dan bahan-bahan yang digunakan dalam teknologi berkenaan perlu diadakan jika Malaysia mahu menarik lebih banyak syarikat-syarikat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia turut boleh mengambil peluang ke atas syarikat-syarikat yang terpaksa menutup operasi mereka di China selepas terjejas akibat perang perdagangan itu.

Kebanyakan syarikat ini tidak lagi memilih persekitaran buruh murah, sebaliknya melihat kepada akses pangkalan pengguna yang besar dan lokasi yang lebih selamat dengan matriks kos faedah yang setanding.

“Dengan ekonomi pertumbuhan tinggi dan lebih 600 juta pengguna, ASEAN dilihat sebagai opsyen yang menarik. Dalam konteks ini, tumpuan adalah pada Malaysia memandangkan ekonominya yang signifikan dengan rekod yang amat positif terhadap pelabur,” katanya.

”Semasa krisis seperti sekarang, pelan pelaburan banyak ditangguhkan kecuali apabila sesuatu pelaburan itu terpaksa dibuat bagi mengisi jurang kritikal yang diwujudkan oleh perubahan secara tiba-tiba, dan jika jurang itu membabitkan kerugian hasil atau bahagian pasaran kepada pesaing.

“Fokus yang lebih besar diperlukan untuk mencari peluang sedemikian,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )