COVID-19: Menjalani Kehidupan Beretika dan Berintegriti Dalam Perniagaan

Oleh :
Suhana Abdul Mutalib

Hanya kerana seorang peniaga nasi kandar di Napoh yang gagal mengamalkan etika perniagaan mengikut norma baharu susulan pandemik COVID-19, negeri Kedah kini mendahului carta bilangan kes tertinggi selepas lebih sebulan berstatus hijau.

Lebih membimbangkan, usaha dan inisiatif kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 boleh diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi – langsung tidak meresap ke hati sebahagian rakyat Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah mengeluarkan amaran bahawa COVID-19 tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya dan meminta penduduk dunia untuk menerima hakikat tersebut dan belajar hidup dengannya.

Ini antara lainnya membawa erti, virus yang pertama kali muncul di Wuhan, China akhir tahun lalu dan kini sudah menjangkiti lebih daripada 5.5 juta orang dan membunuh hampir 350,000 di seluruh dunia akan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dunia.

Pematuhan SOP

Lupakan seketika saranan kerajaan berkaitan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, amalan mencuci tangan menggunakan sabun, penjarakan fizikal mahupun penjagaan kebersihan diri.

Ia telah menjadi rutin atau tabiat dalam kalangan sebahagian besar masyarakat, malah anak kecil seusia lima tahun juga sudah mampu untuk mengamalkan semua ini yang menurutnya penting untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Yang perlu kita (kerajaan dan masyarakat) cakna ketika ini ialah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga. Kluster Sivagangga di Napoh, Kedah membuktikan masih ada yang berdegil dan enggan patuh pada SOP yang telah ditetapkan.

Jika kita lihat, di pihak peniaga, tuntutan yang diperlukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibahagikan kepada empat kategori iaitu mengambil dan merekodkan suhu (termasuk merekodkan butiran peribadi pelanggan), kawalan bilangan pelanggan, penggunaan pensanitasi tangan serta pembersihan dan proses disinfeksi membabitkan premis dan kemudahan perniagaan.

Tidak dinafikan, ada peniaga yang mengambil serius akan keperluan ini namun masih terdapat segelintir yang menganggap perkara ini sesuatu yang remeh. Jika ianya diabaikan, maka bertebaranlah virus COVID-19 di serata tempat dan bertambah lagi kluster-kluster baharu yang akhirnya akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

Amalan integriti dalam perniagaan

Sebenarnya, isu berkaitan pematuhan kepada SOP atau boleh juga dikategorikan sebagai peranan etika dan amalan integriti dalam perniagaan. Ia bukanlah sesuatu yang baharu malah telah diamalkan semenjak dari zaman Rasulullah S.A.W lagi.

Persoalan etika dan integriti ini juga telah diamalkan dalam sistem ekonomi berkonsepkan barter yang mana etika dan integriti diletakkan sebagai asas utama pertukaran barangan.

Antaranya, barang yang tidak tahan lama atau tidak mempunyai simpanan nilai yang cepat rosak seperti ikan dan sayur perlu ditukarkan dengan segera. Jika tidak, ia akan rosak dan ini akan merugikan pemilik kerana nilai barang tersebut akan berkurangan.

Etika dan integriti jika dilihat secara asasnya berkait dengan tingkah laku manusia itu sendiri – tingkah laku manusia dalam menguruskan pelanggan dan tingkah laku manusia yang bertindak sebagai pelanggan. Dalam konteks ini, sejauh manakah kita dapat memastikan tingkah laku pelanggan dan peniaga ini menyumbang kepada pembentukan etika dan integriti yang tinggi?

Hal ini pasti tidak mendatangkan masalah kepada pemilik premis atau perniagaan berskala besar atau pengendali restoran mewah, restoran makanan segera mahupun outlet perniagaan yang berjenama. Namun bagaimana pula dengan perniagaan berskala kecil yakni membabitkan peniaga gerai makanan, restoran atau penjaja?

Ada situasi yang mana pemilik premis hanya meletakkan alat pengesan suhu, pensanitasi tangan dan borang maklumat pelanggan di bahagian hadapan premis berserta papan tanda had maksima pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa dan selebihnya terpulang kepada pelanggan untuk menjalankan peranan masing-masing.

Jika pelanggan itu jujur, pastinya kesemua SOP itu akan dipatuhi meski terpaksa menggunakan sendiri alat pengesan suhu badan. Namun bagaimana jika sebaliknya?

Dalam situasi yang lain pula, sejauh manakah kita mampu untuk memastikan bahawa maklumat yang direkodkan oleh pelanggan itu adalah sahih? Bagaimanapula sekiranya nombor kad pengenalan atau nombor telefon yang diberikan adalah palsu? Siapakah sebenarnya yang harus memainkan peranan?

Kita seharusnya sedar, dalam keadaan kita masih berusaha melawan COVID-19 ini, etika dan integriti ini merupakan perkara paling asas dalam pematuhan SOP dan amalan norma baharu kepada semua pihak yang terlibat – baik di pihak peniaga mahupun pelanggan itu sendiri.

Setiap dari kita pasti punya hujah masing-masing dalam memperkatakan hal ini. Peniaga misalnya, pasti menggunakan hujah perlu membuka perniagaan masing-masing dalam meneruskan kelansungan sesebuah perniagaan di sebalik kekangan-kekangan yang dimiliki termasuklah bilangan pekerja dan kerugian yang telah ditanggung semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tidak dinafikan, dalam teori asas perniagaan, untung rugi ini merupakan perkara pokok dalam sesuatu perniagaan. Tidak ada perniagaan yang diwujudkan hanya untuk mencatatkan kerugian malah dalam Islam sendiri keuntungan merupakan objektif yang seharusnya dicapai oleh setiap peniaga.

Perniagaan dalam Islam

Tetapi jika dilihat dalam konteks Islam yang lebih menyeluruh, sesebuah perniagaan itu sewajarnya mengutamakan kepentingan pelanggan dan memenuhi tanggungjawab sosial terlebih dahulu dalam usaha memastikan perniagaan itu mendapat keberkatan.

Justeru, inilah cabaran utama yang harus ditangani oleh semua pihak – kerajaan dan masyarakat dalam memastikan pembentukan tingkah laku manusia yang dapat mematuhi etika dan mengutamakan integriti terutama dalam perniagaan pasca PKP ini dapat direalisasikan.

Pada masa sama, adalah menjadi tanggungjawab bersama juga untuk kita mengambil dan mengguna pakai nilai-nilai norma baharu atau SOP perniagaan ini sebagai suatu tindakan yang serius dalam memastikan rantaian COVID-19 ini dapat dihentikan.

Semua sedia maklum, Malaysia kini berada pada tahap yang cukup kompetitif dan diiktiraf dunia dalam aspek kawalan penularan COVID-19, justeru pilihan kini di tangan kita sendiri – mahu menjadi masyarakat bertanggungjawab dan beretika atau menjadi gunting dalam lipatan melalui tindak tanduk dan perbuatan kita.

Saya pasti, tidak ada seorang pun antara kita ingin menjadi pencetus atau penyumbang kepada pertambahan kluster baharu. Lebih utama lagi, tidak ada sesiapa pun yang ingin melalui fasa PKP sekali lagi yang pastinya akan mengakibatkan lebih banyak kerugian kepada kerajaan dan sektor perniagaan itu sendiri.

Maka, jalankan peranan anda. Ayuh bersama jalani kehidupan beretika pasca PKPB!

— BERNAMA

Suhana Abdul Mutalib ialah Pensyarah Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )