COVID-19 jadi pemangkin kepada transformasi digital untuk perniagaan

COVID-19 jadi pemangkin kepada transformasi digital untuk perniagaan

KUALA LUMPUR,. Perniagaan kini mempercepatkan peralihan ke teknologi digital, didorong oleh pandemik COVID-19, mereka perlu memastikan proses peralihan itu berterusan semasa tempoh pemulihan dan pasca-COVID-19 kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri.

Beliau berkata gelombang transformasi digital masih dalam proses peralihan di kebanyakan industri, sama ada di Malaysia dan rantau Asia Pasifik, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memfokuskan kepada pendigitalan produk, perkhidmatan dan proses perniagaan.

Perniagaan juga harus mulai menggunakan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), katanya pada sesi ‘spotlight’ bertajuk “APEC’s Artificial Intelligence (AI) Opportunity” bersempena Dialog Ketua Pegawai EKsekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Malaysia 2020, hari ini.

“Perniagaan harus memanfaatkan penggunaan teknologi dan mengamalkan kebiasaan baharu untuk berkembang di era IR4.0,” katanya.

Surina berkata melangkah ke hadapan, fokus seterusnya adalah bagaimana menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti membuat keputusan, mengoptimumkan kecekapan organisasi dan membina hubungan yang lebih dekat dengan pelanggan.

Surina juga meminta negara anggota APEC untuk meningkatkan infrastruktur digital mereka dan memastikan rakyatnya mendapat manfaat daripadanya.

Sementara itu, Unit Sokongan Dasar APEC dalam laporan terbaharunya mendorong negara anggota APEC memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk membina infrastruktur teknologi yang lebih dipercayai dan merapatkan jurang digital.

Laporan itu berkata bagi memastikan akses kepada peluang melatih semula dan meningkatkan kemahiran kerana ia membolehkan lebih ramai orang mengambil bahagian dalam ekonomi dan mengaktifkan semula inovasi yang akan menghasilkan produktiviti lebih tinggi dan output ekonomi lebih besar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )