COVID-19 dan survival perniagaan

COVID-19 dan survival perniagaan


Oleh Prof Dr Fauzias Mat Nor

Keperluan kelangsungan hidup melalui aliran tunai tidak boleh dinafikan terutama semasa krisis ekonomi atau ekonomi tak menentu. Semasa ekonomi stabil peluang untuk mendapatkan tunai berlebihan mungkin senang dicapai. Tetapi, apabila terjadinya krisis seperti keadaan sekarang ini, kelangsungan hidup perniagaan tertentu ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa iaitu tiada ketentuan dan memerlukan bantuan.

Survival atau kelangsungan hidup untuk perniagaan atau firma, baik perniagaan besar, sederhana dan kecil ternyata terkesan terutama pada sektor yang kurang permintaan semasa krisis ekonomi. Justeru, model perniagaan perlu difikirkan semula. Penstrukturan dan pencatuman perniagaan perlu juga dilaksanakan.

Dalam keadaan yang tidak menentu bagi yang ada aset pun belum tentu boleh dicairkan sama ada jangka panjang baik jangka pendek kecuali aset cair yang diletakkan atau didepositkan di bank. Maksudnya tiada yang mampu untuk melunaskan atau membelinya. Pengorbanan untuk kelangsungan hidup perlu mengatasi ego dalam kawalan korporat dalam menstrukturkan perniagaan.

Dalam situasi ini, kesan COVID-19 yang melanda jika tidak dibendung akan memberi kesan yang tidak menyenangkan. Bukan hanya terhadap ekonomi tetapi juga masalah sosial yang dikatakan lebih buruk daripada krisis kewangan pada 1998 dan 2008. Memang kita mengharapkan dan berdoa pandemik ini tidak lama dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik supaya ekonomi boleh dipulihkan secepat mungkin. Mungkin secara berperingkat mengikut keseriusan wabak di kawasan tertentu.

Penstrukturan perniagaan kali ini bukannya mudah kerana ia melibatkan manusia sejagat. Penstrukturan perniagaan melibatkan masalah dalaman dan operasi yang bergantung pada permintaan. Permintaan banyak berlandaskan pada berapa banyak kuasa pembelian melalui tunai yang ada. Barang mewah belum lagi dikehendaki sekurang-kurangnya dalam masa satu tahun mungkin bertahun.

Peranan Kerajaan dan Institusi Perbankan

Untuk menangani masalah kewangan untuk semua bukannya mudah. Mungkin dalam hal ini kerajaan melalui perantara bank dan agensi bukan bank mempunyai peranan yang penting untuk menyalurkan bantuan kewangan berkaitan perniagaan. Peranan bank dan institusi yang berkaitan adalah bagi memastikan bantuan kewangan ini disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan berkeupayaan membayar balik.

Konsep mudharabah mungkin yang terbaik. Konsep mudharabah memerlukan peneroka, pengusaha atau peniaga yang amanah bagi mengurangkan risiko kepada pemberi modal. Jika ada kerugian di luar kawalan pengusaha, pemberi modal perlulah menyusutkan modalnya dan perlu ditanggung peniaga jika kerugian disebabkan kecuaian pengusaha itu sendiri. Dengan cara ini dana daripada agihan keuntungan yang diberi balik boleh digunakan semula untuk pengusaha lain yang memerlukan.

Sumber kewangan kerajaan memerlukan perubahan peruntukan kerajaan. Belanjawan perlu disemak semula supaya belanjawan yang mendesak didahulukan. Mungkin projek mewah ditangguhkan dahulu. Pinjaman mudah (soft loan) mungkin perlu difikirkan semula. Agensi yang terlibat dengan pinjaman untuk sektor tertentu perlu lebih berstruktur dan berkesan terutama yang melibatkan sektor pertanian.

Konsep Maqasid al-Syariah

Dalam mengenal pasti keutamaan perbelanjaan dalam penstrukturan semula belanjawan dan projek-projek kerajaan, ilmuwan Islam telahpun mengetengahkan konsep Maqasid al-Syariah, yang perlu diimbas kembali dalam kita menjalankan perancangan ekonomi. Secara umumnya, Maqasid al-Syariah bertujuan menjaga maslahat atau kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

Secara khususnya, Imam Al Ghazali telah membahagikan maslahat kepada tiga keutamaan iatu darruriyat (bagi memenuhi kelangsungan hidup), hajiyyat (untuk memberi kemudahan) dan tahsiniyyah (untuk kehidupan lebih sempurna). Beliau turut mengariskan prinsip utama Maqasid al-Syariah kepada lima perkara iaitu memelihara agama, memelihara nyawa. memelihara akal, keturunan dan harta. Justeru, dalam situasi pandemik hari ini, perbelanjaan negara perlu melihat garisan Maqasid bagi memastikan kelangsungan asas semua masyarakat terjaga di samping menjaga kestabilan ekonomi negara.

Dalam sektor perbankan, Bank Negara Malaysia telah menggariskan pengantaraan berlandaskan nilai (VBI) untuk sistem perbankan Islam yang mungkin perlu dipanjangkan kepada institusi bukan bank. Berdasarkan tatacara pelaksanaan VBI sedia ada, negara boleh menjadikan ia sebagai rujukan terbaik bagi memastikan sektor ekonomi semasa pandemik ini berjalan serentak dengan konsep maslahat untuk semua. Apa-apa pun yang terjadi ada hikmah yang hanya Allah sahaja yang mengetahui.

— BERNAMA

Prof Dr Fauzias Mat Nor merupakan Profesor Kewangan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )