CIDB kaji langkah kurangkan impak kenaikan harga besi tetulang

CIDB kaji langkah kurangkan impak kenaikan harga besi tetulang

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan mengkaji langkah-langkah bagi menangani impak kenaikan harga besi tetulang dalam sektor pembinaan akibat faktor termasuk peningkatan harga bijih besi di serata dunia serta kesan pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, CIDB berkata rekodnya menunjukkan bahawa kesemua bahan binaan di seluruh negara adalah stabil sepanjang 2020 kecuali harga besi tetulang serta bahan binaan berasaskan besi yang mengalami kenaikan harga.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata perkara itu juga susulan kebanyakan lombong bijih besi tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh akibat faktor bencana alam serta isu pandemik tersebut.

“Pandemik ini sememangnya telah membawa cabaran yang besar kepada semua pihak, khususnya penggiat industri pembinaan.

“Pihak CIDB akan mengkaji langkah-langkah bagi menangani masalah ini bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan sektor ini untuk jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Menurut CIDB, pada Januari 2021, harga besi tetulang mencecah RM2,890.00/MT (tan metrik).

Bagi tempoh Januari hingga April 2020, harga besi tetulang adalah pada kadar RM2,435.00/MT dan turun sebanyak -6.4 peratus kepada RM2,278.00/ MT pada Mei serta kekal sehingga Julai 2020.

Pada Ogos 2020, terdapat kenaikan harga sebanyak 2.2 peratus (kenaikan sebanyak RM50-RM80/MT) kepada sekitar RM2,300.00/MT manakala Disember 2020 menyaksikan harga besi di Semenanjung Malaysia meningkat mendadak sebanyak 22 peratus kepada RM2,800.00/MT.

Menurut CIDB, punca lain kenaikan bahan itu adalah kesukaran mendapatkan bahan mentah iaitu bijih besi dan sebahagian besi buruk yang kedua-duanya diimport dari luar negara.

“Isu logistik turut menyumbang kepada kesukaran dan kelewatan penghantaran bagi bahan import disebabkan situasi pandemik selain pemulihan sebahagian permintaan bijih besi yang menyebabkan harga bijih besi naik sehingga mengakibatkan peningkatan harga jualan produk lama yang sedia ada,” katanya.

Faktor lain adalah kekurangan permintaan dalam situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana kilang telah mengurangkan pengeluaran serta tidak beroperasi dengan kapasiti penuh.

Ini turut dipengaruhi oleh kesan rantaian aliran tunai industri tidak stabil serta terma pembayaran antara kontraktor dan pembekal yang mempengaruhi harga bahan binaan bagi setiap transaksi.

Menurut CIDB, pembekal cenderung menaikkan harga kerana mengambil kira risiko kelewatan pembayaran oleh pihak kontraktor yang sebaliknya berbuat demikian akibat kelewatan pelanggan membuat bayaran.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )