BSN tawar Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga

BSN tawar Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga

KUALA LUMPUR,. Bank Simpanan Nasional (BSN) kini menawarkan skim pembiayaan mikro di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga).

Dalam kenyataan pada Isnin, BSN menjelaskan Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga merupakan kesinambungan daripada beberapa kemudahan terdahulu yang menyaksikan pihaknya telah membantu lebih 50,000 pelanggan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM1.4 bilion.

“Ia (Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga) menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM75,000 pada kadar 4.0 peratus (kadar asas tetap) untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan,” menurutnya.

BSN menambah, melalui skim ini, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.

Bagaimanapun, bagi Skim Pembiayaan BSN Micro/i Semarak Mula, perniagaan mestilah beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan, jelasnya.

Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga adalah pembiayaan yang diperuntukkan di bawah Bajet 2022 dengan dana berjumlah RM800 juta bagi membantu rakyat Malaysia secara berterusan terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pulih akibat pandemik COVID-19.

Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga menawarkan tujuh pilihan pembiayaan iaitu BSN Micro/i Semarak Mula, BSN Micro/i Semarak PEDi, BSN Micro/i Semarak Tani, BSN Micro/i Semarak Sukan, BSN Micro/i Semarak Nita, BSN Micro/i Semarak Belia dan BSN Micro/i Semarak.

Menurut BSN para pengusaha mikro boleh memohon Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga bermula hari ini menerusi secara dalam talian melalui laman web BSN, mengunjungi cawangan BSN atau Pusat Mikro Kewangan BSN berhampiran.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga atau produk-produk BSN yang lain, layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )