Belanjawan 2021 : Pengusaha Spa Johor gesa bantuan PKS ikut jenis perniagaan

Belanjawan 2021 : Pengusaha Spa Johor gesa bantuan PKS ikut jenis perniagaan

Oleh Lucia Terey John

JOHOR BAHRU,. Kerajaan diminta memperincikan peruntukan bantuan bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2021 mengikut jenis atau segmen perniagaan bagi memastikan bantuan itu dapat dinikmati secara menyeluruh.

Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawanita Spa Melayu Johor Norhayati Ramlan berkata langkah itu juga dapat memastikan semua segmen PKS menerima bantuan atau geran disediakan kerajaan, khususnya ketika kebanyakan perniagaan terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Ketika ini, terdapat pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan berbeza dalam PKS tetapi apabila bantuan atau geran diumumkan kerajaan, ia selalunya bersifat umum dan tidak khusus mengikut pelbagai segmen.

“Ini menyukarkan pengusaha seperti spa atau pusat rawatan kecantikan untuk mendapat bantuan kerana perlu bersaing dengan perniagaan lebih dominan seperti penyediaan makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malah, Norhayati berkata, terdapat segelintir pengusaha spa di negeri itu yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka selepas terjejas teruk akibat COVID-19 sejak awal tahun ini, termasuk akibat masalah aliran tunai yang menyukarkan mereka membayar sewa premis dan lain-lain.

Menurutnya, walaupun premis spa dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh PKP Pemulihan (PKPP), kedudukan kewangan perniagaan itu sebaliknya belum pulih sepenuhnya.

“Usaha merancakkan kembali perniagaan tidak berhasil sepenuhnya kerana perlu mematuhi beberapa syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam norma baharu.

“Ini seperti penjarakan fizikal yang tidak membenarkan jumlah pengunjung ramai dalam satu-satu masa serta mengehadkan tempoh masa perkhidmatan spa sehingga menyukarkan pengusaha meraih pulangan seperti sebelum PKP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengetengahkan pelan bantuan dan pemulihan yang lebih berkesan untuk pengusaha spa dalam Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat ini.

Menurutnya, ini berikutan perniagaan dan perkhidmatan spa tersebut turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Potensi besar perkhidmatan ini juga perlu diteroka, lebih-lebih lagi dalam menjenamakan urutan tradisional Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri untuk diangkat termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Majoriti yang lebih mengenali urutan tradisional Thailand atau Bali, namun asing dengan urutan tradisional Malaysia yang menampilkan kombinasi teknik urutan pelbagai etnik dalam negara ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )