Belanjawan 2021 bertujuan menangani COVID-19 secara seimbang – Institut KRI

Belanjawan 2021 bertujuan menangani COVID-19 secara seimbang – Institut KRI

KUALA LUMPUR,. Belanjawan 2021 adalah langkah penting bagi membolehkan negara menghadapi krisis COVID-19 secara seimbang, serta bergerak ke hadapan dengan harapan dan keyakinan, kata Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau dalam satu kenyataan berkata pandemik COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital negara dan menjadikan isu dasar digital lebih mendesak berbanding sebelum ini.

Peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM150 juta bagi menggalakkan usahawan tempatan mengguna pakai perkhidmatan digital melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kempen e-Dagang PKS Mikro sewajarnya mampu merangsang ekonomi digital di negara ini.

“Menyedari keperluan untuk meningkatkan kemahiran digital dalam tenaga kerja bagi membolehkan penyertaan yang lebih bermakna dalam ekonomi digital, Belanjawan 2021 juga telah menyalurkan peruntukan RM100 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menyediakan latihan ICT kepada tenaga kerja semasa,” katanya.

Dari segi keterangkuman digital, elaun telekomunikasi RM180 untuk isi rumah B40 dan peruntukan RM500 juta bagi sambungan internet di 430 sekolah dilihat sebagai sesuatu yang amat memberangsangkan.

Selain itu, belanjawan kali ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengembangkan peluang pekerjaan, khususnya bagi manfaat kepada belia dan graduan muda.

Program Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja), Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) dan lanjutan langkah subsidi upah bersasar adalah tepat pada masanya dan akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia dalam pasaran kerja.

“Melalui inisiatif ini, lebih 500,000 peluang pekerjaan baharu disasarkan pada tahun depan. Belanjawan 2021 perlu memberi impak positif kepada pasaran pekerjaan negara,” katanya.

Dalam menghadapi pandemik COVID-19, kerajaan telah membuat peruntukan tertinggi untuk kesihatan, memberi isyarat yang jelas dalam memastikan sistem kesihatan negara berada pada kedudukan yang baik agar pandemik ini ditangani, selain keperluan kesihatan bukan COVID yang lain.

“Di samping peruntukan khusus kepada COVID-19, kami menyokong kemasukan beberapa langkah untuk meningkatkan daya tahan keseluruhan rakyat terhadap pelbagai penyakit termasuk peruntukan RM90 juta kepada program imunisasi pneumokokus yang dijangka melindungi 500,000 kanak-kanak.

Tambahan pula, perhatian ke atas keadaan kesihatan mental sebagai masalah serius amat dipuji, khasnya dalam situasi COVID-19 sekarang ini.

“Peruntukan Belanjawan 2021 untuk kesihatan sudah pasti akan membolehkan Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh bagi menangani krisis kesihatan awam yang berterusan,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )