Belalang goreng berempah dapat permintaan tinggi

Belalang goreng berempah dapat permintaan tinggi

KOTA BHARU,. Bak kata pepatah “lain padang lain belalang.” Jika di negeri-negeri lain belalang mungkin hanya sejenis serangga liar di padang, tetapi di Kelantan serangga itu adalah sajian yang mempunyai peminatnya tersendiri, terutamanya apabila digoreng berempah atau disalut kunyit.

Permintaan tinggi terhadap makanan eksotik itu membuka peluang rezeki buat dua beradik Emi Zuhaida Husain, 35, dan adiknya Emi Zuhaika Husain, 25.

“Masih ramai yang tidak pernah menikmati belalang goreng, sebaik sahaja pelanggan jumpa promosi yang kami buat, penggemarnya mengakui makanan ini bukan sahaja eksotik, malah sedap, tetapi terlalu sukar ditemui.

“Ada pelanggan yang membeli untuk mencuba dan ada pula yang menghadiahkan kepada ibu bapa serta keluarga kerana makanan ini pernah menjadi kesukaan ramai suatu ketika dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kok Lanas, di sini hari ini.

Menurut Emi Zuhaida belalang goreng sememangnya mendapat tempat di hati penggemar di negeri ini tetapi kini mereka turut mendapat tempahan dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Emi Zuhaida, yang bekerja sebagai jururawat persendirian, berkata perniagaan itu yang dijalankan secara sampingan turut mengimbau kenangan belajar memasak belalang goreng daripada ibu mereka Mek Yah Hamat, 64, ketika mereka masih kecil.

“Belalang yang kami jual ini diperoleh dua hari sekali daripada pembekal yang memprosesnya di Pasir Puteh. Kami biasanya mengambil 15 hingga 20 botol dengan harga RM16 untuk 100 gram.

“Belalang goreng berempah paling mendapat tempat di hati penggemar kerana kelainan rasa rempah, lemak santan, manis, masin dan kerangupan menjadikan ia menu yang paling ‘dirindui’,” katanya yang turut dibantu suami, Badrul Othman, 47.

Sementara itu, Emi Zuhaika, seorang suri rumah, berkata ekoran meraih permintaan tinggi mereka kini melaksanakan jualan secara bayaran semasa penghantaran (COD).

“Antara lokasi liputan COD ialah di Kota Bharu, Kubang Kerian, Melor dan Kok Lanas, kebanyakan penggemar belalang goreng teruja sebaik sahaja produk ini sampai ke tangan mereka. Ada juga yang memberi respon ia sangat sedap dan diulang tempahan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )