Bekas CEO Petronas sertai Exxon Mobil

Bekas CEO Petronas sertai Exxon Mobil

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tenaga yang berpangkalan di Texas Amerika Syarikat (AS), Exxon Mobil.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Exxon Mobil, Darren Woods, yakin penyertaan Wan Zulkiflee yang berpengalaman luas bakal menjadi pelengkap kepada barisan lembaga pengarah syarikat minyak AS itu.

Woods memuji kejayaan Wan Zulkiflee ketika mengetuai Petronas terutamanya menerusi pertumbuhan strategik dan inisiatif yang meningkatkan kecekapan syarikat, serta penglibatan Petronas dalam bidang kimia.

Malah, CEO syarikat yang tersenarai dalam S&P 500 di Wall Street itu menyentuh mengenai kejayaan Petronas yang merekodkan keuntungan kukuh sepanjang berada di bawah kepimpinan Wan Zulkiflee.
Wan Zulkiflee sebelum ini melepaskan jawatan nombor satu dalam syarikat petroleum negara sebelum kontraknya berakhir.

Beliau kemudian ditugaskan sebagai Pengerusi Malaysia Airlines setelah menamatkan khidmat di Petronas selama 37 tahun. Individu yang mengantikannya di Petronas ialah Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

-Awani /DG

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )