Bayaran GKP tambahan kepada 900,000 PKS mikro mulai 25 Mac

Bayaran GKP tambahan kepada 900,000 PKS mikro mulai 25 Mac

KUALA LUMPUR,. Kesemua 900,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang telah diluluskan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0 sebelum ini akan menerima bayaran GKP Tambahan mulai 25 Mac, 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. berkata pembayaran itu akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM883 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 24 Mac, 2021 menerusi portal GKP di https://gkp.hasil.gov.my,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM3.58 bilion.

Tengku Zafrul berkata kerajaan telah mengumumkan bantuan kewangan sekali bayar melalui GKP Tambahan sebanyak RM1,000 kepada PKS mikro di 12 negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada Januari dan Februari 2021.

Beliau berkata manakala PKS mikro yang berada di negeri yang tidak dikenakan PKP pula menerima bantuan kewangan GKP Tambahan bernilai RM500.

“GKP Tambahan ini bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan pandemik COVID-19 di samping meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan PKS mikro,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )