Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

Bajet 2022 memacu kesejahteraan Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR,. Kerajaan membentangkan Bajet 2022 semalam dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam berkata bajet mengembang itu mengambil aspirasi konsep Keluarga Malaysia dan turut dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19.

“Bajet 2022 diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya ketika membentangkan bajet bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Bajet 2022 itu meneruskan pemberian bantuan wang tunai langsung secara bersasar kepada rakyat, memperkasakan aspek pendidikan dan kesihatan dengan menyediakan peruntukan terbesar kepada kedua-dua sektor berkenaan dan menjana peluang pekerjaan.

Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 itu mengumumkan pemberian inisiatif tunai langsung Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun hadapan dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk disalurkan kepada 9.6 juta penerima.

Memandangkan peperangan terhadap pandemik COVID-19 belum berakhir, peruntukan RM4 bilion disediakan khusus untuk agenda menangani COVID-19 bagi membiayai program vaksinasi dan meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam.

Dalam mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara sebagai persediaan ke fasa endemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menyedari krisis pandemik telah memburukkan kehidupan sosial sehingga mencetuskan kesempitan hidup, keganasan rumah tangga dan kemurungan, Bajet 2022 memperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan.

Seperti kelaziman belanjawan negara yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara, Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 menyediakan peruntukan RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Kerajaan juga akan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 setiap pelajar untuk tiga juta murid yang layak sebagai persediaan ke sekolah, berbanding RM100 sebelum ini.

Sebagai menghargai jasa guru melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) terutamanya semasa pandemik COVID-19, Bajet 2022 menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar RM100 secara sekali bayar kepada lebih 400,000 guru.

Menteri Kewangan itu berkata penggunaan peranti telekomunikasi kini menjadi semakin penting khususnya bagi golongan pelajar institusi pengajian tinggi, justeru kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar golongan B40 di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Ekoran krisis kesihatan akibat COVID-19 yang melanda negara sejak 2020 telah menjejaskan sektor pekerjaan dan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran, Bajet 2022 merangka untuk mewujudkan 600,00 jaminan peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia atau JaminKerja dengan peruntukan RM4.8 bilion.

“Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi, ia dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” katanya.

Belanjawan itu turut mencadangkan insentif bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tertentu seperti Orang Kurang Upaya, Orang Asli, banduan dan mengalakkan wanita kembali bekerja, selain memberi pelepasan cukai bagi menghadiri latihan dan meningkatkan kemahiran.

Menyentuh tentang jaringan keselamatan sosial, Tengku Zafrul dalam pembentangannya mencadangkan pengukuhan sistem perlindungan sosial termasuk meningkatkan kadar pencen ilat di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), meluaskan pelepasan cukai untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja dalam sektor gig.

Tengku Zafrul berkata pelbagai inisiatif menyeluruh diambil kerajaan dalam Bajet 2022 untuk melaksanakan strategi membangun sebuah Keluarga Malaysia meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah.

Antaranya ia meliputi agenda pemerkasaan Bumiputera yang menyaksikan peruntukan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera, pengimarahan syiar Islam (RM1.5 bilion), pembangunan kaum Cina dan India (RM345 juta), anak-anak Sabah dan Sarawak bagi mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan (RM10 juta) dan Orang Asli (RM274 juta).

Bajet 2022 itu turut memberi perhatian kepada kaum hawa termasuk menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi selain menitikberatkan aspek kesihatan termasuk menyediakan peruntukan bagi subsidi ujian subsidi ujian mammogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks.

Tengku Zafrul berkata bagi menjaga keselamatan kanak-kanak, kerajaan akan mensubsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40.

Selain menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU, Bajet 2022 mencadangkan kuota khas satu peratus untuk program MyStep kepada golongan OKU serta kerajaan untuk menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki oleh OKU.

Dalam usaha membina kehidupan yang kondusif, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan lebih RM31 bilion khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif dalam Bajet 2022 bagi meminimum kesan peningkatan kos sara hidup rakyat melibatkan kawalan harga barang dan perkhidmatan.

Menyedari kesukaran akses pengangkutan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan akan terus memberikan subsidi RM209 juta bagi perkhidmatan pengangkutan udara untuk manfaat penduduk setempat.

Kerajaan juga akan terus menambah baik aspek kesejahteraan penduduk luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah dengan menyediakan peruntukan lebih RM2.5 bilion bagi infrastruktur luar bandar termasuk pembinaan jalan raya, air dan bekalan elektrik.

Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara tidak dikompromi, Bajet 2022 memperuntukkan masing-masing RM16 bilion dan RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Bagi memulihkan sektor-sektor tumpuan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan, kerajaan memperuntukkan RM1.6 bilion bagi melaksanakan tujuh inisiatif antaranya seperti Program Subsidi Upah bersasar kepada pemain industri pelancongan dan pembiayaan khusus bagi sektor pelancongan.

Sejumlah RM188 juta disediakan untuk merancakkan aktiviti industri kreatif seperti inisiatif Dana Kandungan Digital, projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan PERKESO kepada golongan artis.

Dalam menyediakan kemudahan jalur lebar terkini kepada Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 buah sekolah terutamanya di luar bandar.

Belanjawan itu turut meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM1.7 bilion dan RM1.5 bilion.

Dalam ucapan pembentangan selama dua jam itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah, dan RM350 bagi kira-kira sejuta pesara kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut mengumumkan gantian cuti rehat maksimum 150 hari dinaikkan kepada 160 hari bagi mengiktiraf pengorbanan penjawat awam ketika menangani krisis COVID-19.

“Dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan jawatankuasa pemantauan yang diselaras oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan semua inisiatif Bajet 2022 berjaya mencapai objektif yang disasarkan.

Bajet 2022 adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )