Bajet 2022 cerminkan usaha kerajaan untuk kekalkan pengembangan dasar fiskal

Bajet 2022 cerminkan usaha kerajaan untuk kekalkan pengembangan dasar fiskal

KUALA LUMPUR,. Bajet 2022 mencerminkan usaha kerajaan untuk mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang bagi menyediakan sokongan yang mencukupi untuk menggalakkan pemulihan ekonomi yang mampan dan jangka panjang, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyokong dan melindungi mereka yang memerlukan, memacu pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pekerjaan serta pemulihan pendapatan.

“Kami akan melakukan ini dengan menyediakan sokongan yang diperlukan kepada perniagaan, satu langkah ke hadapan yang seimbang, inklusif dan mampan untuk Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada sesi webinar ‘Malaysian Economic Association 2022 Post-Budget Debate’, hari ini.

Beliau berkata hasil daripada gabungan asas yang kukuh, landskap global yang menyokong dan asas ekonomi yang pelbagai, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun 2022.

“Dengan pembukaan semula ekonomi susulan daripa campur tangan dasar di bawah Bajet 2022, kami mengunjurkan untuk mengurangkan kadar pengangguran kepada empat peratus atau lebih rendah digabungkan dengan pemulihan perniagaan yang kukuh,” katanya.

Asri menekankan bahawa Bajet 2022 juga mengutamakan ekonomi yang makmur dan mampan, keutamaan utama adalah untuk menyokong pemulihan ekonomi yang kukuh.

“Sehubungan itu, pembukaan semula ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) disokong oleh pendirian terhadap dasar fiskal yang mengembang. Untuk tidak menarik balik sokongan fiskal sebelum waktunya, kerajaan telah memutuskan untuk menyederhanakan defisit fiskal sahaja daripada unjuran 6.5 peratus pada 2021 turun kepada 6.0 peratus daripada KDNK pada 2022,” katanya.

Pengurangan defisit yang sederhana juga adalah menyokong agenda dan projek pembangunan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ke arah memacu transformasi ekonomi dan melaksanakan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif merentas wilayah dan komuniti.

Bajet 2022 adalah peruntukan terbesar negara sberjumlah RM332.1 bilion, ia termasuk menyediakan bantuan tunai terbesar kepada rakyat Malaysia B40 dengan Bantuan Keluarga Malaysia melibatkan hampir 10 juta penerima dan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion berserta bantuan kebajikan melebihi RM2 bilion.

Bajet 2022 juga menjanjikan menyediakan sebanyak 600,000 pekerjaan baharu dengan peruntukan RM4.8 bilion.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )