Anti vaksin: Agenda politik gagalkan usaha kerajaan? – Syed Azwan Syed Ali

Anti vaksin: Agenda politik gagalkan usaha kerajaan? – Syed Azwan Syed Ali

Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Awalnya, puak yang menentang vaksin langsung menolak vaksin sebagai ikhtiar perubatan untuk memerangi pandemik COVID-19. Hujah mereka guna kononnya vaksin COVID-19 adalah agenda “new world order” untuk menguasai dunia.

Antara dakwaan kononnya vaksin ini nanti akan membolehkan nanocip ditanam ke dalam tubuh manusia, mengubah DNA kita dan akhirnya ‘mengawal’ manusia.

Pada masa yang sama, melalui media sosial yang menjadi medium utama penyebaran konspirasi-konspirasi tular dan enak dibaca ini, ada sekelompok individu yang menuduh perkara bertentangan iaitu COVID-19 ini sebenarnya adalah agenda Islamisasi dunia.

Dakwaannya adalah pelitup muka yang digunakan sebagai kebiasaan dalam normal baharu bagi mengekang penularan COVID-19 itu sebenarnya agenda Islamisasi dunia.

Mula-mula pakai pelitup muka, kemudian pakai purdah, demikian gambaran di Barat yang dikaitkan dengan agenda Islamofobia.

Akhirnya, populasi dunia sama ada orang Islam atau bukan Islam, akan saling menunding jari dek kerana pandemik yang telah menjangkiti lebih 116 juta individu dan membunuh lebih 2.5 juta nyawa di lebih 200 negara di dunia.

Di Malaysia, pokok utama yang menjadi kebimbangan awal mengenai vaksin, termasuk vaksin Pfizer-BioNTech yang kini digunakan di negara ini, adalah bagaimana vaksin ini dihasilkan dalam yang masa singkat?

Malah bagi puak anti-vaksin, kepentingan dan kegunaan vaksin di Malaysia cuba diremehkan sedangkan fakta jelas menunjukkan bahawa pemberian vaksin telah dijalankan melalui Program Imunisasi Kebangsaan sejak awal 1950-an bagi melindungi rakyat daripada penyakit cegahan vaksin.

Setakat ini, 11 jenis vaksin bagi mencegah 13 jenis penyakit cegahan vaksin diberikan kepada kanak-kanak di Malaysia iaitu Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus, Batul Kokol (Pertussis), Polio, Haemophilus Influenza Jenis B (Hib), Demam Campak (Measles), Rubella, Beguk (Mumps), Pneumokokal, Japanese Encephalitis (JE) dan Human Papillomavirus (HPV).

Sebelum ini, jemaah haji dan umrah Malaysia juga diwajibkan mengambil vaksin meningokokus bagi melindungi mereka di tanah suci dan terbaru, Kerajaan Arab Saudi mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 bagi melindungi jemaah haji dan umrah daripada jangkitan pandemik itu.

Jadi bagaimana vaksin COVID-19 dihasilkan dengan terlalu cepat? Adakah vaksin selamat digunakan, apakah faktwa di sebalik penggunaan vaksin dan adakah penggunaannya mematuhi undang-undang negara?

Menjawab persoalan ini, usaha pembangunan vaksin COVID-19 sebenarnya dimulakan secara intensif selepas kod genetik virus dikongsikan penyelidik dari China pada Januari 2020. Kes positif COVID-19 pula dilaporkan di negara kita pada penghujung bulan yang sama.

Namun berbeza dengan situasi sebelum ini, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melalui Handbook Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelaskan, pembangunan vaksin pandemik yang bermula dari wilayah Wuhan, China dipercepatkan dengan pelaburan besar-besaran di peringkat global membabitkan negara-negara, badan dunia, syarikat farmaseutikal dan individu.

Pembangunan vaksin COVID-19 juga lebih pantas ekoran hasil kajian terdahulu (patogen-patogen yang pernah mencetuskan pandemik, epidemik dan endemik seperti Virus Nipah, SARS dan lain-lain) yang membantu penyelidikan ketika ini.

Persoalannya, adakah ini bermakna kesemua usaha ini, termasuk kepesatan dan kemajuan manusia dalam teknologi perubatan adalah konspirasi pihak tertentu untuk mengawal dunia atau ia hanyalah sekadar kemajuan sains?

Sebenarnya ketika umat Islam di Malaysia masih meragui status penggunaan vaksin, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Dari sudut keselamatan, penggunaan vaksin COVID-19 adalah dikawal selia Akta Racun 1952 (Akta 366), Akta Jualan Dadah 1952 (Akta 368), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) selain penggunaan vaksin COVID-19 di negara memerlukan kelulusan ketat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Namun apa yang menariknya adalah selepas vaksin tiba di Malaysia pada 21 Februari lalu dan selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula secara rasmi pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini divaksinasi, timbul pula beberapa isu lain antaranya kononnya vaksin Pfizer hanya diberikan kepada golongan VIP dan barisan hadapan, manakala rakyat biasa akan menerima vaksin ‘second class’ dari China.

Ramai yang tidak menyedari pada hari sama vaksin dari China, Sinovac tiba di Malaysia pada 27 Februari lalu, ada pihak yang dikesan mengedarkan risalah anti-vaksin dan lebih menarik vaksin ini (Sinovac) dinamakan sebagai vaksin PKC (Vaksin Parti Komunis China).

Penulis yang turut menerima risalah dua muka surat itu yang antara lain mengandungi artikel bertajuk “Menolak Komunisme Menjauhi Virus PKC” mendapati gambaran yang cuba disampaikan melalui artikel-artikel di dalam risalah ini adalah vaksin Sinovac dari China tidak selamat.

Persoalannya, adakah ini usaha terancang pihak tertentu untuk menggagalkan usaha kerajaan untuk melindungi rakyat melalui program imunisasi kebangsaan atau lebih teruk jika ia tindakan berunsurkan politik?

Jika benar ini yang berlaku maka malanglah nasib rakyat Malaysia kerana yang dipertaruhkan adalah nyawa manusia selepas kerajaan pimpinan Muhyiddin telah menetapkan sasaran supaya 80 peratus daripada populasi atau 26.5 juta rakyat Malaysia diberi vaksin secara percuma.

Sehingga semalam (5 Mac 2021), hanya 1.9 juta rakyat Malaysia mendaftar untuk menerima vaksin melalui MySejahtera. Angka itu amat jauh dari sasaran kerajaan selepas lebih seminggu program imunisasi kebangsaan dimulakan.

Difahamkan, Perdana Menteri yang mempengerusikan sendiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai COVID-19 mengarahkan proses pendaftaran dan pelaksanaan imunisasi dilipatgandakan dengan segera membabitkan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

Ini kerana program imunisasi kebangsaan antara strategi ‘exit policy’ (jalan keluar) Putrajaya dalam mengekang pandemik COVID-19 dengan pendekatan seimbang menjaga keselamatan rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi negara selepas sektor ekonomi dibuka secara berperingkat.

Penulis yakin sekiranya kerajaan menyegerakan pengumuman pakej pampasan bagi mereka yang mempunyai kesan sampingan serius seperti yang dilakukan Singapura, lebih ramai rakyat akan mendaftarkan diri dalam program imunisasi negara.

Dan satu perkara lagi, kerajaan tidak seharusnya menekankan soal tindakan/hukuman ke atas mereka yang gagal hadir temujanji vaksin walaupun secara teknikalnya akan berlaku pembaziran dos vaksin. Apa yang penting, kerajaan boleh memikirkan mekanisme penyelesaian dalam isu ini di kemudian hari.

Jikapun situasi ini (tidak hadir temujanji vaksin) berlaku, ia akan membabitkan jumlah kecil.

Apa yang lebih penting adalah lebih ramai rakyat Malaysia mendaftarkan diri dalam program imunisasi kebangsaan, sekali gus mengenepikan dakwaan dan konspirasi anti-vaksin yang mungkin saja diperkudakan agenda politik.

— BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )