Al Rajhi mahu kembangkan bank digital

Al Rajhi mahu kembangkan bank digital

KUALA LUMPUR,. Al Rajhi Bank Malaysia merancang untuk mengembangkan bank digital dengan pelancaran rasmi pejabat baharu di Menara Hap Seng 3, Kuala Lumpur.

Ruang kerja baharu itu akan menempatkan pasukan bank digital Al Rajhi Bank Malaysia selain beberapa unit lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Al Rajhi Bank Malaysia, yang dimiliki oleh Al Rajhi Bank Kingdom of Saudi Arabia, turut mengumumkan pelantikan Ikram Khaliq sebagai ketua bank digital semasa pelancaran itu.

Ia berkata, Ikram mempunyai pengalaman antarabangsa 16 tahun menjadi mentor dan membina firma teknologi dalam industri teknologi kewangan (fintech) serta teknologi insurans (insutech).

“Kami membuat pelaburan yang besar dalam inovasi digital dalam pada membina asas bank digital yang tertumpu kepada pelanggan, dan gembira mendapatkan Ikram untuk menerajui pasukan ini.

“Kami beraspirasi untuk menetapkan standard kecemerlangan baharu bagi perbankan Islam di Malaysia menerusi perbankan digital terbaik dan kelasnya dan menyalurkannya untuk menfaat pelanggan individu serta perniagaan Al Rajhi Bank Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Arsalaan (Oz) Ahmed.

Beliau berkata, ia sejajar dengan tonggak strategik Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026 yang menumpukan kepada kemajuan pendigitalan sektor kewangan selain kepimpinan dalam kewangan Islam, disokong penekanan kerajaan terhadap digital teknologi seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Selain pejabat baharu di Menara Hap Seng, Al Rajhi Bank Malaysia mempunyai ibu pejabat korporat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (1 )