AKPK perkenal ‘Leman’ bagi menyuntik semangat pada Aidilfitri

AKPK perkenal ‘Leman’ bagi menyuntik semangat pada Aidilfitri

KUCHING,. Bangkit dan berusaha mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, nilai perlu dipupuk dalam masyarakat lebih-lebih lagi apabila dilanda waktu sukar.

Inilah mesej yang disampaikan melalui video Pesanan Khidmat Masyarakat bertajuk ‘Tulus’ oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang telah dilancarkan siaran perdananya pada 22 April 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

AKPK dalam kenyataannya berkata pelancaran video itu juga seiring dengan sambutan 16 tahun penubuhannya sebagai sebuah agensi Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan untuk mendidik, menasihati dan membantu individu dan kini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengurus kewangan serta hutang mereka.

Bagi mendukung mandat ini, AKPK turut menekankan nilai-nilai positif yang membina seperti bersyukur, bertanggungjawab dan mahu bertindak untuk memulihkan keadaan kewangan melalui kandungan komunikasi seperti video ini di media sosial mahupun media tradisional.

‘Tulus’ berkisar tentang kehidupan dua beradik yatim piatu iaitu Leman dan adik perempuannya Liana yang tinggal bersama nenek mereka.

Leman amat menyayangi Liana dan menjaga adiknya itu yang sedang sakit. Apabila sakitnya bertambah berat menjelang Aidilfitri, Leman diminta oleh neneknya untuk membawa Liana ke hospital yang terletak agak jauh dari kediaman mereka di pedalaman. Namun hajat tersebut tidak kesampaian.

Dalam ulasannya, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata: “AKPK berharap agar setiap individu, lebih-lebih lagi generasi muda dapat menjiwai watak ‘Leman’ yang mempunyai sikap bertanggungjawab, tabah dan matang dalam menghadapi cabaran hidup.

“Bersyukur dengan apa yang masih ada, berusaha untuk menambah baik kehidupan dan menjadikan setiap cabaran sebagai pemangkin transformasi diri, akan membawa kita daripada kebergantungan kepada bantuan dan simpati kepada kehidupan proaktif yang menyumbang kepada kesejahteraan diri dan masyarakat.”

Ini sejajar dengan slogan rasmi kedua AKPK yang dilancarkan pada ulang tahun AKPK yang ke-16 pada 17 April iaitu ‘Mentransformasikan Kebergantungan Kepada Ketahanan Kewangan’.

Slogan ini yang mengiringi slogan utama AKPK iaitu ‘Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup’, mengulangi komitmen AKPK untuk menggalakkan lebih ramai individu dan PKS bertindak dan mendapatkan bantuan daripada institusi yang sah bagi mengukuhkan kewangan mereka.

Sejak penubuhan AKPK pada 2006 sehinggalah 31 Mac 2022, lebih daripada 1.2 juta individu telah menghadiri sesi khidmat nasihat bersama AKPK dan daripada jumlah itu, lebih daripada 370,000 individu telah memohon untuk menyertai Program Pengurusan Kredit AKPK.

Lebih daripada 41,000 peserta telah berjaya menamatkan Program Pengurusan Kredit dengan jumlah nilai tunggakan melebihi RM2 billion.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )