Air balang ‘fancy’ 50 perisa

Air balang ‘fancy’ 50 perisa

KUANTAN,. Bermula dengan hanya tiga balang air, kini anak kelahiran Pahang bernama Rostam Saad memiliki 50 balang air dengan pelbagai perisa.

Air balang yang dinamakan sebagai air balang fancy itu sangat dikenali pengunjung bazar Ramadan Rembau setiap kali menjelang Ramadan.

Namun, tahun ini suasana tersebut berbeza kerana lelaki berusia 32 tahun itu hanya menjual air balangnya dari rumah sahaja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus menjana pendapatan dalam waktu sukar sebegini.

“Saya terpaksa akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan bazar Ramadan beroperasi.

“Dengan bantuan isteri, Hasliza Alham Mohamed, 32, saya menjual antara enam hingga sembilan air balang pelbagai perisa di sekitar Taman Desa Permai Mampong,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara air balang fancy yang menjadi pilihan adalah teh ais, vanila blue, tembikai laici, air jagung, tembikai susu, strawberi coklat dan mangga yogurt.

Setiap air yang dijual bermula dari RM3 hingga RM4, mengikut jenis iaitu menggunakan susu atau gula.

Rosdi berkata, dia bersyukur walaupun tidak dibenarkan berniaga sepanjang PKP sejak 18 Mac lalu, namun rezekinya tidak pernah putus sehingga ke hari ini.

Katanya, masa terluang ketika PKP telah digunakan untuk mengajar lebih kurang 3,000 peniaga muda yang ingin menjual air secara dalam talian.

“Saya menerima banyak permintaan daripada anak-anak muda yang ingin belajar membuat air untuk memulakan perniagaan.

“Ilmu yang ada saya kongsikan dengan semua orang secara percuma sahaja kerana cara membuat 50 jenis air ini adalah hasil ciptaan saya sendiri,” katanya.

Sehingga kini, katanya, dia menerima banyak permintaan daripada peniaga yang mahu belajar membuat air, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Dibancuh

Selain menjual air balang, Rostam berkata, dia juga ada menjual serbuk dan pati membuat air khusus mereka yang berminat menjual air balang.

Menurutnya, air balang yang dibancuh tidak sekata boleh menyebabkan rasanya tidak enak, oleh itu penting untuk memberi penekanan kepada teknik asas pembuatannya.

“Kepekatan bancuhan air antara gula, susu dan perasa adalah sangat penting bagi menjamin kualiti rasa yang dihasilkan.

“Jadi, ilmu ini semua perlu dipelajari untuk mendapatkan hasil yang lebih baik,” katanya.

Rostam berkata, perniagaan menjual air mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan.

Jelasnya, perniagaan tersebut banyak cabangnya dan boleh diusahakan di mana-mana sahaja.

“Selain berniaga di pasar tani, saya juga berniaga di tapak karnival, majlis perkahwinan, rumah terbuka dan pembukaan syarikat,” katanya.

Dengan menggunakan moto #rasabetulbetuljahat, Rostam berkata, air balang fancy turut menjadi pilihan di pelbagai jenis majlis keraian seluruh Negeri Sembilan.

–Sinar Harian

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )