AIM bangunkan platform digital pasar produk Sahabat

AIM bangunkan platform digital pasar produk Sahabat

TASEK GELUGOR,. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sedang membangunkan platform digitalnya sendiri bagi memberi tumpuan membantu memasarkan produk usahawan mikro atau digelar sebagai Sahabat di bawah seliaannya.

Pengerusinya Datuk Shabudin Yahaya berkata ketika ini AIM sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat bagi mewujudkan platform sendiri itu termasuk memberi latihan dan kursus kepada 378,507 Sahabat AIM di seluruh negara.

“Platform digital itu sudah ada dan sekarang ini tumpuan AIM adalah untuk mendigitalkan perniagaan sahabat-sahabat AIM dengan memberi mereka kursus, latihan dan maklumat berhubung cara pemasaran serta berniaga di platform tersebut.

“AIM terpanggil untuk mewujudkan platform digital kerana pasaran yang lebih luas untuk sahabat kami (AIM), ia (platform digital) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan lagi dan lepas ini orang ramai di seluruh negara boleh membeli produk dikeluarkan mereka hanya melalui platform tersebut sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bakul Kasih AIM, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyampaikan sebanyak 1,400 bakul makanan di serahkan kepada sahabat AIM cawangan Butterworth hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Sementara itu, Shabudin berkata AIM juga akan membuka peluang kepada ganerasi muda berusia 18 hingga 40 tahun bagi memberi pinjaman menerusi AIM Muda, dalam usaha memastikan golongan tersebut dapat menambah pendapatan dengan berniaga.

Katanya pihaknya akan menyediakan peruntukan asing untuk AIM Muda itu dan peminjam akan diberikan latihan pengurusan dan perniagaan, sehingga mereka berjaya dalam perniagaan masing-masing.

“Kita memang ada sahabat AIM dalam kalangan orang muda namun tidak ramai dan sebab itu kami nak wujudkan AIM Muda, bagi memberikan pinjaman khusus kepada mereka dan peminjam akan dipandu sehingga mereka berjaya, jika gagal kita akan cari sebab serta penyelesaian kenapa jadi macam itu (gagal).

“AIM nak pastikan mereka (golongan muda) ini berjaya dan sebenarnya AIM Muda ini adalah ruang dan peluang kepada generasi muda berniaga untuk menambah pendapatan serta, dalam masa sama membantu membina ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu berucap pada majlis itu, beliau berkata pihak AIM menyediakan sebanyak 15,000 bakul kasih AIM kepada Sahabatnya, bagi membantu meringankan beban mereka ketika pandemik COVID-19 sekarang ini, di mana setakat hari ini sebanyak 10,000 bakul makanan bekalan makanan asas telah diserahkan kepada Sahabat AIM.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )